Sunday, January 21, 2018

Termakbulkah doaku di Raudhah? – Umrah 30 Nov – 10 Dis 2017 (Bahagian 6)

Sementara menunggu waktu isyak, kelihatan di skrin tv ditulis tentang masuk Raudhah. Hanya boleh duduk di Raudhah maksimum 5 minit.

Apa yang perlu kita lakukan sesudah masuk ke Raudhah? Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak eloklah solat sunat dua rakaat.

Untuk masuk ke Raudhah, biasanya lelaki tiada had masa dan berbeza dengan perempuan. Disampaikan dari mulut ke mulut, waktunya pukul 8-9 pagi, 1-3 petang dan lepas isyak sampai 11 malam. Kami mencuba sebanyak 3 kali tapi belum berjaya.

Usai solat isyak, kami mencari tempat laluan walaupun memang kami sudah menunggu di ruangan pintu nombor 25 yang merupakan pintu untuk masuk ke Raudah. Ketika itulah nampak petugas masjid mula menutup pintu kayu yang besar itu. Lor patutlah masa zohor tadi kami tak dapat. Dah duduk saf yang awal juga tapi kami keluar pergi toilet. Bila nak masuk balik, tersangkut di pintu yang sudah ditutup.

Terperangkap dengan kata-kata orang  yang mengatakan 8-9 pagi, 1-3 petang dan isyak sampai 11 malam. Sebenarnya di kanvas putih yang tergantung di pintu kayu tu ditulis masuk Raudhah lepas syuruk, zohor dan isyak. Tak ada pun waktu yang ditetapkan. Bermakna ikutlah waktu solat tu, ada ketika, kan cepat, lepastu lewat sikit. Walaupun tulis dalam bahasa Arab tetapi fahamlah sedikit-sedikit.  Orang yang bercakap waktu-waktu tertentu  tu sebab dia yang masuk ikut time tu haha.

Sebenarnya kalau dah lepas solat subuh, zohor atau isyak tu, jangan keluar hatta nak pergi tandas pun sebab ia akan tutup pintu. Di dalam masjid itu ada sekatan-sekatan berbentuk pintu.  Dan ketika itulah jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan berbahasa Melayu, kumpulan Turki, kumpulan Pakistan dan India.  Ada papan tanda yang dibawa oleh petugas masjid. Petugas masjid akan memberi arahan supaya jemaah masuk ke kategori masing-masing. Kali ni barulah ada keyakinan dapat masuk. 

Mengikut sign yang disediakan, Kumpulan Berbahasa Melayu  biasanya Indonesia, Malaysia dan Singapura.  Terdiri di kalangan penduduk Asia Tenggara yang mempunyai saiz badan yang kecil. Kalau dicampur dengan yang lain mahu ‘terpenyet’. Namun,  walaupun sudah dibuat pembahagian begitu, masih ada yang tak faham dan menyelit dalam kumpulan Asia Tenggara ini juga.

Kumpulan negara lain akan bergerak dahulu. Oleh itu kita perlu menunggu. Dalam waktu menunggu tu eloklah baca quran dan berzikir  dulu bagi memanfaatkan masa. Apabila petugas masjid angkat sign dan jalan, semua orang pun ikut. Berhenti di hentian pertama. “Ibu, duduk! Duduk!” Menunggu sekitar 5 -10 minit. Di hadapan kelihatan kumpulan jemaah dari negara lain yang turut menunggu. Semuanya dilepaskan secara berperingkat. Apabila diasingkan begitu, nampaknya lancar. Tidak perlu risau dihimpit orang daripada negara lain yang berbadan besar.

Bila nampak sign tu diangkat dan bergerak, yang lain pantas mengikut. Berhenti lagi.  Kita tahu pintu masuk semakin dekat apabila melalui kawasan bumbung terbuka dan nampak kubah hijau yang menandakan makam Rasulullah SAW dibawahnya.

Ketika di kawasan bumbung terbuka ni, sebelah kiri jemaah Turki dan sebelah kanan ruang ditutup dengan kain kanvas putih. Bermakna Kumpulan Berbahasa Melayu berada di tepi sekali.  Kelihatan petugas masjid memarahi jemaah negara lain suruh duduk.  Udah berbuih mulut dema berteriak ikut bahasa sendiri, sedikit pun tak dengar arahan. Masih berdiri. Kami pun saling memuji diri bangsa sendiri. “Kita yang dari Asia Tenggara ni sahaja yang dengar cakap, kan?” Sambil orang-orang di tepi angguk, angguk. Setuju. Haha. Keliling saya orang Indonesia.

Tiba masa sign Kumpulan Berbahasa Melayu diangkat dan nak berjalan semula.  Semua berdiri. Keadaan jadi kelam-kabut, orang Turki di sebelah dah masuk ke kumpulan kami, sedangkan giliran mereka belum disuruh berjalan lagi. Sebelah kanan yang patutnya kain kanvas tu boleh ada pula jemaah Pakistan atau India yang datang dari celah mana. Petugas masjid suruh duduk, tapi memang tak boleh langsung, tiada ruang hendak mengundur pun. Akhirnya semua pun berdiri. Perempuan depan saya orang Malaysia. Agresif juga. “Melayu! Melayu!” Marahkan orang bangsa lain. Mata pun jegil-jegil lagi. Saya pun bisik kat kawan, “Kita ikut dia ni.” Hehe.

Masa untuk berjalan lagi, Ya Allah memang bertolak-tolak, suara petugas masjid yang menghalang suruh  jangan tolak-tolak  tak dengar dah,  dengar suara tangisan budak tersepit antara orang ramai menangis memanggil ibunya berhampiran saya. Kalau terjatuh time ni memang habislah terpijak. Sampai di tiang/dinding, ada orang ajak saya rapat ke dinding. Mengelak jemaah bangsa lain yang berangkai-rangkai merempuh. 

Saya memandang ke atas, kelihatan  tergantung kanvas ditulis dalam bahasa Melayu, jangan menyakiti diri sendiri dan orang lain dengan bertolak-tolak. Saya teruskan perjalanan mengikut arus, terdengar perempuan yang agresif tadi tunjuk arah kiri pada jemaah yang dibawa, itu makam Rasulullah, “Assalammualaika Ya, Rasulullah!” makam Abu Bakar dan makam Umar. 

Lelaki boleh masuk bila-bila masa. Masih ada ruang-ruang untuk bergerak. Kalau perempuan, memang tiada langsung ruang. Padat dan sesak. Kredit: Adam Ahmad Saifuddin

Kredit: Adam Ahmad Saifuddin. Boleh cari di Youtube, 3D Raudah untuk melihat keseluruhan kawasan.

Tak sedar dah sampai.  Pandang bawah, permaidani hijau. Tanda untuk mengenali Raudhah mempunyai permaidani berwarna hijau sedangkan permaidani masjid di bahagian lain berwarna merah.  Kawan suruh solat sambil dia ‘mengepung’ supaya orang lain tidak bertolak-tolakan. Kami berganti.

Akhirnya menuju keluar jalan yang berbeza daripada jalan masuk tadi. Dalam hati perasaan bercampur baur, kita menziarahi makam Rasulullah, tetapi keadaan kita yang bertolak-tolak dan mengepung tadi mungkin juga menyakiti orang lain. Tidak mengikut sunnah juga tu.

Daripada Abdullah bin Amr- radiyalLahu anhuma, daripada Nabi SAW, sabdanya, “Seorang Muslim yang paling utama itu ialah rasa selamat Muslim yang lain daripada angkara lidah dan tangannya. Muhajir itu pula ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang Allah tegahi.”
                                                                                            Sahih al-Bukhariy


Entahlah, hanya Allah sahaja yang tahu ganjarannya. Semoga dalam kita mengejar pahala, tidak pula bertambah dosanya.


Sunday, January 14, 2018

Raudhah di Masjid Nabawi –Umrah 30 Nov – 10 Disember 2017 (Bahagian 5)

Kawasan Raudhah tidak luas. Ia adalah bahagian di antara mimbar dan makam Nabi SAW.  Raudhah tempat mustajab berdoa dan ia taman syurga. Seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Antara mimbarku dan rumahku adalah taman dari taman-taman syurga (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dataran Masjid Nabawi. Tiang-tiang berpayung ini biasa dijadikan tempat untuk mengambil gambar. Seminggu sebelum nak pergi, tersiar berita larangan mengambil gambar di Masjid Nabawi dan Kaabah. Namun ramai je yang tangkap gambar, saya sahaja yang tak berani tangkap haha lagipun malas nak bawa telefon ke masjid.  Minimakan barang-barang yang perlu dibawa supaya tak hilang. Tu pasal gambar saya tak banyak. Biarlah kenangan itu hanya menjadi memori sendiri.
Kerja-kerja pembinaan untuk meluaskan lagi masjid masih dijalankan.

Topik hangat di Masjid Nabawi. Hari kedua, “Dah masuk Raudhah?”

“Dah lepas Subuh.”

“Eh, tadi orang kata tutup sebab nak bersiap untuk untuk solat jumaat.”

“Tunggu lepas solat jumaat nanti,” kata jemaah  yang lain pula.

“Malam nanti lepas isyak,” kata jemaah Indonesia.

“Oh … kami tiada di sini malam nanti, ada urusan Hari Keluarga,” saya menjawab.

“Cuba cari mutawif Indonesia, derang kata mutawif tu akan jaga kita,” kata seorang jemaah Malaysia yang kami temui.

Selepas zohor, mencari laluan untuk masuk. Di satu sudut, kelihatan orang keluar  dari satu arah. “Raudhah di sini?”

“Iya, tapi makamnya tidak dibuka,bu,” sambil berlalu pergi. Aik tak sempat la nak bertanya banyak lagi. Lihat orang pergi jalan ke pintu keluar, takkanlah kami nak masuk berlawanan arah. Akhirnya kami balik ke hotel.

Hari ketiga, ada ziarah dalam. Pukul 8 dikehendaki berkumpul di hotel. Mutawif membawa kami ziarah sekitar Masjid Nabawi dan memberitahu untuk perempuan Raudhah masuk di pintu nombor 25. Tetapi terdapat had masa iaitu 7-10 pagi, 1-3 petang dan 9.30-11 malam yakni lepas subuh, zohor dan isyak.

 Habis ziarah dalam, kami membeli roti untuk mengisi perut sementara nak pergi Raudhah lepas solat zohor nanti. Habis solat salah seorang terasa nak pergi tandas pula. “Baik pergi sekarang sebelum masuk Raudhah”.
Tandas dan tempat wuduk ni terletak dekat pintu 25. Memandangkan dekat dengan laluan kami masuk atau keluar jadinya mudah juga nak ke toilet kalau batal wuduk.

Balik dari tandas, sambil tu sembang-sembang dengan yang lain pasal Raudhah.

“Semalam dekat sinilah saya tunggu, ha pintu no 25 ni,” kata jemaah Singapura.
Kami pergi ke arah orang berkumpul ramai di hadapan pintu kayu sambil bertanya seseorang yang kelihatan seperti orang Malaysia.

“Sinikah tunggunya?”

“Agaknya, saya pun ikut orang ramai ni,” katanya.

Di pintu kayu tersebut ada ditulis dengan kain kanvas, dalam bahasa Arab tapi saya dapat tangkap sikit-sikit perkataan - masuk-Raudah-syuruk-zohor-isyak. 

“Tak de pun tulis masa pukul berapa? Hanya waktu solat sahaja. Kenapa pulak ada dua tiga orang yang beritahu kami masanya? Hmmm ..."


Memandangkan ramai orang mengunjungi Madinah, setiap travel agency akan 'memberi' satu tanda pengenalan yang seragam kepada kumpulan tersebut. Gambar di atas, tudung segi tiga yang berwarna oren. Macam kami hanya pakai tag nama. Ada kumpulan yang ada sekuntum bunga (korsaj) di atas kepala (telekung) dan ada yang memakai selendang segi tiga macam pengakap tu dan ditulis nama travel agency.
Kami sabar menunggu. Teringat pula dari bacaan di blog, akan dikumpulkan orang-orang dari Asia Tenggara.

 “Eh takdepun nampak tanda.”

 Tiba-tiba kumpulan hadapan kami berlari-larian satu arah. Apalagi kami pun mengikut. Terhenti di sekatan pintu. Saya mencari lokasi yang boleh menyandar pada dinding supaya mudah menyusup. Strategi berjaya, hampir 30 minit tiada apa perubahan. Seakan menunggu pintu pasar raya dibuka. Sabar menanti. Semakin lama menunggu, orang yang berada di hadapan kami keluar, tak tahan menunggu. 
Yang ni dari Indonesia, pakai mafla. Malaysia pun ada yang pakai gini, rasa macam nak pi tengok bola juga. Hehe. Ada yang pakai seakan baju top dan belakang ada tulis nama travel agency. Yang pasti, kalau Asia Tenggara tu dikenali dengan pemakaian telekungnya. 
Yang ni selendang biru berjalur putih kalau tak silap Turki. India, Pakistan atau Bangladesh tiada uniform, biasanya punjabi suit sahaja. Jadi mereka ni lah yang memeriahkan warna-warni masjid. Algeria biasanya putih sahaja.

Kami mengambil tempat mereka dan akhirnya berada depan pintu kayu. Yeay berjaya mengambil tempat di hadapan. Mengintai di celah lubang ukiran kayu, macam tiada apa-apa. Kosong je. Ada dua tiga orang jemaah lelaki duduk baca Quran. Kami duduk bersila, maklumlah dari tadi berdiri menunggu giliran. Pandang sekeliling.

“Eh, apasal semua keliling kita ni, orang Turki, Algeria, Bangladesh, Pakistan dan India.?” Seorang pun tiada Asia Tenggara, hanya kami sahaja yang bertelekung. “Hahaha!” Saling berpandangan sesama sendiri. “Raudhah?” salah seorang macam dari India atau Pakistan bertanya. Udah tanya orang yang tak tahu juga, akhirnya kami beralih dari situ. Waktu asar dah dekat, kami  cari tempat.

Balik asar, singgah kedai beli nasi sebab di hotel confirm habis sebab dah waktu asar. Kena makan nasi juga sebab tadi hanya lunch roti. Malam ni cubaan nak pergi  Raudhah lagi, cari tenaga. Di lobi hotel, jumpa geng yang lain tanya dapat masuk tak.

“Dapat, zohor tadi.”

“Ehh hairan bin ajaib, kami pun pergi tadi lepas zohor. Pintu 25, betullah tu. Tak boleh jadi ni, malam ni kena cuba juga sebab esok nak ziarah luar, tak ada masa. Lusa nak ke Mekah.”

Nombor pintu tercatat di luar masjid dan juga di dalamnya. Kalau nak berjanji dengan orang lain kena beritahu nombor pintu sebab keadaan di luar ni sebenarnya sama sahaja. 
Naik ke bilik, lunch yang dah nak jadi makan petang/ hi tea la pulak. Siap-siap nak solat Maghrib.
Habis solat maghrib, pergi ke toilet ada seseorang ni duk senyum-senyum kat kami.

“Seperti pernah kulihat wajah ini. Tapi di mana ya …?” Jenuh mengingatkan. “Ohh … senasib semasa melangut depan pintu nunggu Raudhah tadi. Haha.”  Just ucap salam dan masing-masing perkenalkan diri dari negara mana.

“India.”

“Malaysia!”


Begitulah cubaan-cubaan untuk masuk ke Raudhah yang belum kesampaian. Ok kita sambung kemudian pula sama ada dapat masuk atau tak.

Thursday, January 11, 2018

Menyelusuri Sirah – Umrah 30 Dis -10 Disember 2017 (Bahagian 4)

Hari ketiga di Madinah, baru Mutawif bawa ziarah dalam sebab masa hari pertama sampai petang. Hari kedua, Jumaat. Orang sibuk nak pergi solat Jumaat pula nanti. Ziarah dalam bermakna kami dibawa sekitar Masjid Nabawi .
Di Luar pun dah tulis 25. Inilah laluan keluar masuk kami.

Sebelum ini hanya keluar masuk di pintu nombor 25 sahaja, kini baru kami dibawa ke kawasan sekitar.   Kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Bermula dengan pintu 25, satu kumpulan bergerak ke kiri dan satu kumpulan lagi bertentangan arah.
Di masjid ni pun dah ada tulis nombor 25. 

Menyelusuri kembali  pembinaan masjid ini, Nabi sendiri terlibat dalam kerja-kerja memindahkan batu bata. Asalnya masjid ini dua galang pintunya diperbuat daripada batu, sementara dindingnya diperbuat daripada bata dan tanah liat. Atapnya dibuat daripada pelepah-pelepah tamar sementara tiangnya dibuat daripada batang tamar. Lantainya dihamparkan dengan pasir dan batu kerikil. Masjid itu dibuat dengan tiga pintu. Panjangnya dari kiblat hingga hujungnya ialah seratus hasta, sementara kiri kanannya juga seperti itu atau kurang sedikit. Tapak asasnya hampir tiga hasta (Sumber: Sirah Nabawiyyah , Yadim, Kuala Lumpur m/s 264)

1 Hasta = 45 cm
1 Hasta = ¼ depa
1 hasta berasal dari ukurang panjang di India. Pada zaman dahulu, ukuruan 1 hasta diambil daripada panjang lengan mulai daripada siku sampai hujung jari tengah (Sumber: kumpulan-ilmu-pengetahuan-umum.blogspot.com)

Bayangkan betapa bezanya saiz dengan sekarang, lelah juga dibuatnya bila pusing satu masjid. Lebih 30 kalau tak silap pintunya. Jadinya kalau masuk pintu berapa keluar pun pintu yang itu untuk mengelakkan sesat.

Dikhabarkan juga oleh mutawif, ada perancangan untuk membesarkan lagi masjid ini hinggakan hotel-hotel yang kedudukan 150 meter tak akan ada dah dan akan dipindahkan ke kawasan Masjid Quba. Tapi entah bila la ya, lama lagi kot. Itu baru perancangan.

Pada zaman Nabi, masjib bukan hanya tempat solat tetapi tempat pertemuan, dakwah, mesyuarat, markas tentera dan lain-lain.  Sesiapa yang bersolat fardu di Masjid Nabawi pahalanya akan dilipatgandakan 1000 kali berbanding solat fardu di masjid lain. Rugi jika masa dihabiskan solat di hotel. Masuk masjid jangan lupa niat iktikaf, dapat pahala iktikaf.
Perkuburan Baqi belakang ni.

Seterusnya melalui Perkuburan Baqi. Tempat perkuburan para sahabat nabi dan penduduk tempatan.  Di sini juga tempat  bersemadinya anak-anak Nabi dan isteri-isteri Baginda. Hanya Saidatina Khatijah sahaja yang disemadikan di Mekah iaitu Perkuburan Ma’ala. Opah saya juga disemadikan di situ. Meninggal di Mekah ketika menunaikan haji pada tahun 1983.

Saidatina Aishah mengatakan Baginda sering menziarahi perkuburan Baqi pada tengah malam. Baginda mengucapkan salam dan berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.
Kubah hijau tanda di bawahnya itulah makam Rasulullah SAW

Berjalan lagi, kami melintasi kubah hijau. Di bawahnya itulah makam Rasulullah SAW. Masa zaman universiti dulu-dulu ada terbaca berita-berita percubaan untuk melarikan jasad Nabi. Ya ketika itu, Subhanallah tak tahu langsung bila disebut kubah hijau itu. Di sini juga adanya makam Abu Bakar as Sidiq, dan makam Umar al-Khatab. Di dataran ini memang sentiasa ramai, bukan hanya kumpulan kami sahaja ziarah, terdapat beberapa kelompok lain yang kebanyakannya dari Malaysia dan Indonesia turut sama. Setiap kali kami berdiri di hadapan kubah hijau itu, setiap kali itu jugalah polis/penjaga menghalau kami. Bukan kami sahaja, kumpulan lain pun sama. Memang dia tak bagi berhenti di situ. Jadinya mutawif bercerita sambil berjalan.

Mutawif menceritakan tentang Raudhah yang juga terletak di bawah kubah hijau ini. Tempat mustajab berdoa.  Dari segi bahasa, Raudhah bermaksud taman.Tandanya permaidani hijau.  Lelaki boleh masuk bila-bila masa sahaja iaitu melalui Babussalam ke arah pintu Baqi. Bagi wanita pula di pintu nombor 25 tetapi terdapat had masa iaitu 7-10pagi, 1-3 petang dan 9.30 – 11 malam, katanya iaitu lepas subuh, zohor dan isyak. Memandangkan, kami  di situ pun dah 9 pagi, kami berazam untuk pergi lepas solat zohor nanti.
Mula menuju keluar Masjid Nabawi
Penerangan ringkas tentang Saqifah Bani Saedah

Kami dibawa ke luar Masjid Nabawi iaitu Saqifah Bani Saedah (keluar pintu 13). Nampak taman dan ada bunga-bunga sahaja. Rupa-rupanya ada sejarah. Ia merupakan bangunan tiga dinding, tempat mesyuarat bagi kabilah bani Saedah.  Baginda selalu luangkan masa di sini. Di sinilah perlantikan Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Malah sejarah pertama perselisihan orang Islam.
Walaupun kini jadi taman, sejarah besar tercipta di sini. 

Setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, orang Ansar melobi supaya kaumnya yang dilantik iaitu Saad bin Abi Ubadah. Orang Muhajirin termasuk Abu Bakar dan Umar telah bergegas ke tempat perjumpaan tersebut setelah mendengar perjumpaan dan ada agenda yang dijalankan.  Abu Bakar telah memberi ucapan dan berkata Nabi pernah cakap, ketua daripada kaum Quraisy yakni Muhajirin. 

Ada yang mencadangkan 2 orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang daripada golongan Ansar. Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara. Abu Bakar cadang Umar dan Abu Ubaidah al Jarrah sebagai calon dan dengan pantas Umar mengangkat tangan Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah.

Wah memang bersejarah tempat ini. Bermulanya pemerintahan khalifah.  Terdapat 3 pengajaran yang boleh diambil dalam memilih ketua.
1)Pilih calon
2)Baiah –janji setia
3)Islam berkumpul untuk selesaikan masalah.
Pemandangan luar Muzium 99 Nama Allah

Kami mengakhiri lawatan di Muzium 99 Nama Allah. Berdekatan Masjid Nabawi pintu 13. Kami dikumpulkan dahulu dengan orang-orang yang berbahasa Melayu.  Tour bercampur dengan kumpulan lain. Tujuan dia kumpul tu sebab orang yang akan bawa di dalam tu bagi penerangan dalam bahasa Melayu -Indonesia. Pantas penerangannya hingga tak sempat hayati sekeliling. Ruang di dalam tu dibahagikan ikut tema dan kita akan mengenal Allah daripada 99 nama Allah itu. Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang, syukur masih dapat menikmati alam ini dan rezeki yang diberikan.  Namun begitu jangan lupa neraka dan azab Allah yang pedih.  Jauhi larangan-Nya.
Ar-Razzaq – Yang Maha Pemberi Rezeki
As-Sami – Yang Maha Mendengar
Al –Basir- Yang Maha Melihat
At-Tawwab- Yang Maha Penerima Taubat
Dalam muzium ini dihiasi dengan imej warna-warni yang menarik perhatian.
Syukur menjadi seorang muslim.
Di bahagian ini seingat saya, dibayangkan neraka. Ketika masuk di awalnya bercerita tentang Allah yang maha pemurah, bagaimana alam sekitar ini diciptakan, lebih kepada kita rasa aman melihatnya. Di bahagian akhir ini agak menakutkan sebab ia bayangan dan penceritaan tentang dicampakkan ke neraka. Nauzubillah min zalik. Semoga kita semua terpelihara. 

Terdapatnya video interaktif, gambar dan audio di dalam ni memang  boleh membuka mata kita untuk mengenal Allah dan bukan hanya melagukan zikir Asma Al-Husna di bibir. Free je masuk tapi dia akan kumpulkan ikut kumpulan dulu.

Selepas habis tour, kami beli roti untuk lunch tengah hari. Aim nak masuk raudhah lepas zohor jadi memang tak akan balik ke hotel untuk makan tengah hari.


Saturday, January 6, 2018

Hari Keluarga di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 3)

Trip umrah ini sebenarnya rombongan saudara mara. Allahyarham Haji Wahid dan Haji Mohamad merupakan adik-beradik. Oleh itu waris daripada kedua-dua ini yang menyertai umrah. Kiranya generasi anak, cucu dan cicit ada dalam ni. Pening juga nak memanggil ikut ‘pangkat’ apa. Nasib baik ada carta salasilah sebagai panduan.

Salasilah Keluarga. Sumber: Buku Keluarga Haji Wahid.
Dekat setahun juga dah digembar –gemburkan untuk perjalanan ini. Alhamdulillah berjaya juga dilaksanakan. Ada AJK yang dilantik daripada kedua-dua buah keluarga. 62 orang  semuanya. Masa kursus umrah haritu dah berkenal-kenalan juga. Wajah-wajah yang biasa nampak di kenduri-kendara tapi tak kenal sangat. Kini lebih kenal lagi sebab dah 10 hari bersama-sama siang dan malam. 

Tercetusnya program ini kerana ada saudara yang duduk di Riyadh. Era tahun 40-an, sudah menjadi kebiasaan ibu bapa menghantar anak-anak belajar agama di Mekah hingga ada yang berkahwin di sana dan dapat anak. Ada yang balik semula ke Malaysia dan ada yang menetap terus di sana dan berkahwin dengan orang tempatan. Dan itulah puncanya kenapa ada saudara di sana. Kami memang merancang untuk berbaju kebangsaan. Lelaki berbaju Melayu dan perempuan baju kurung. Dah macam raya pula. Lupa pula tangkap gambar untuk kad raya tahun ni. Ahaks!

Mutawif beritahu kalau majlis orang Arab ni, makannya lambat. Mau dekat tengah malam. Dia nasihatkan alas perut dulu sebelum pergi. Kami bergerak lepas asar. Dalam setengah jam perjalanan, sampailah kami di dewan.
 
Persembahan daripada kumpulan jemputan.

Angin sepoi-sepoi bahasa je pun tapi bila dah lama duk ke luar, mau tak sejuk hingga ke tulang sum-sum. Haih lupa bawa pashmina tapi ada bawa telekung, kalau sejuk lagi  memang pakai aje la telekung hehe.
Sedap roti ni, initnya cream cheese. Pelbagai jenis, ada inti buah zaitun juga tapi macam pelik sikit rasa. 
Payah kalau nak terangkan susur galur. Sib baik saya bawa salasilah yang telah diphotostat. Tunjuk je kita berada di mana jadi taulah nak kaitkan 'pangkat'.

Masuk dalam dewan, bagi gula-gula  pula. Nasi di mana nasi? Haha
Orang arab ni kiranya pangkat sepupu, dua pupu, tiga pupu, kupu-kupu.. hmmm lupa  hehe..

Waris keluarga Hj Mohamad

Waris keluarga Hj. Wahid dan Hj. Mohamad


Komunikasi dalam bahasa Inggeris sahaja. Ada persembahan dari kumpulan jemputan. Oleh kerana masa tu Maulidur Rasul, “Tala’al badru alayna, min thaniyati-al Wada …”. Dan seterusnya nasyid-nasyid Arab. Sambil-sambil itu, tetamu dihidang manisan seperti biskut, coklat dan air teh perasa mint dan herba. Buat di luar, sejuk betul. Sebelah kolam ada air pancut. Bila angin kuat sikit, tempias air. Bertambah sejuk. Semuanya lupa bawa baju sejuk. Lepas habis acara memperkenalkan keluarga, baru masuk ke dalam dewan.  Sesi bergambar.  Pukul 9  baru makan. Ikut waktu Malaysia dah 2.00 pagi. Keriuk keriuk. Perut ngikut waktu Malaysia.  Lepas makan ada persembahan lagi.  Kalau ikutkan, biasanya majlis lebih lama, tapi AJK dah beritahu keluarga di sana, nak balik pukul 11 malam.   
 
Ok dah kenyang makan. Kita duduk sini pula. Ada persembahan lagi.  
Lupa tangkap gambar makanan utama. Maklumlah dah lapar. Haha, baik isi perut daripada bergambar. Sedap-sedap. Macam-macam salad, nasi Arab, Pasta.

Yeay, semua orang dapat cenderamata. 


Ada kawan pernah tanya, “Eh macam mana korang boleh cari sampai ke nama mak bapak moyang pun boleh tahu? Aku punya sejarah family setakat mak bapak je tau. Inikan pula saudara mara yang lain.”

Dalam setiap keluarga tu mesti ada seorang yang rajin dan berinisiatif untuk mencari maklumat tu. Jadi kita bantu sahaja memberi maklumat.  Saya sendiri pun tahu keluarga belah dekat sahaja. Pak cik saya pula jenis yang suka simpan foto lama dan dari situ juga boleh disimpulkan sejarah.  Oleh itu pentingnya setiap maklumat itu didokumentasikan


Friday, December 29, 2017

Merasa Kemeriahan Subuh Di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 2)

1 Disember, Maulidur Rasul. Jika di Malaysia, pastinya selawat dan lagu Rasulullah nyanyian Hijaz sudah berkumandang di radio.

                                    Rasulullah dalam mengenangmu
                                    Kami susuli lembaran sirahmu
                                    Pahit getir pengorbananmu
                                    Membawa cahaya kebenaran

                                    Engkau taburkan pengorbananmu
                                    Untuk umatmu yang tercinta
                                    Biar terpaksa tempuh derita
                                    Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Awal pagi
Namun di Madinah ini saya hanya mendengar selawat dari bilik hotel. Saya tidak pasti adakah inisiatif pengunjung hotel atau hotel itu sendiri. Malas pula nak tengok sebab nak tidur awal.

Merasa berjemaah subuh di Masjid Nabawi. Hari Jumaat pula tu, penghulu segala hari. 2.30 pagi lagi dah bangun. Tak jadi masalah sebab di Malaysia pukul 7.30 pagi. Pukul 3 pagi meriah di jalan. Ramai yang lain dari hotel berdekatan juga sudah mula bergerak ke masjid. Pintu 25 itulah pintu keluar masuk kami. Malah kalau ditenang-tenang, memang boleh nampak terus ke hotel. Datang awal-awal ni bolehlah pilih tempat mana yang nak duduk.

Rutin setiap hari datang ke masjid, minum segelas air zam-zam yang diletakkan di laluan masuk masjid sambil berdoa supaya diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di sini.  Di samping itu isi air zam-zam dalam botol untuk bekal bawa balik. Masa nak balik pun minum segelas lagi.

Ketika azan yang pertama (di sana azannya dua kali, sela waktu lebih kurang satu jam)semakin ramai yang mula memenuhi saf. Penjaga masjid (berpurdah hitam seluruhnya) mula meletakkan tape kuning di ruang-ruang solat yang berpermaidani dan orang ramai akan duduk di bahagian simen. Biasanya kalau dah letak tape kuning tu maksudnya ruang carpet tu dah penuh. Tapi sesiapa yang bentang sejadah di laluan berlapik getah tu siaplah kena halau dengan penjaga ni. Mana taknya, dah memang laluan orang nak jalan. “Ibu ke sini ibu”, “Hajjah! Hajjah! Sini ada kosong.” Begitulah tugas penjaga masjid atau pencuci masjid yang akan memanggil jemaah untuk memenuhi saf. Ramai juga pekerjanya orang Indonesia.  Seronok tengok gelagat orang ramai. Pagi tu, tiba-tiba rasa sejuk, “kuatnya aircond”. Tiba-tiba tengok orang keliling dongak ke atas. “La bila masa pula open air ni?” Rupanya bumbungnya terbuka tempat yang saya duduk tu. Tak sempat tengok dia buka dari awal, tengok-tengok dah ternganga. “Original aircond patutlah sejuk”. Masa tu je yang dapat merasa bumbungnya terbuka.  Hari lain tak dapat pun.

Selepas solat, biasanya ada solat jenazah. Saya tanya rakan sebilik, macam mana tahu? Dia kata memang begitulah kebiasaannya, setiap kali selepas solat memang ada solat jenazah. Selepas beberapa kali baru saya dapat ‘tangkap’ tanda-tandanya, imam akan menyebut ‘solat’ dan ‘mauta’. Sepanjang berada di Madinah dan Mekah  memang setiap waktu ada solat jenazah kecuali ada satu waktu je memang tak ada masa tu. Ambillah kesempatan untuk lakukan solat jenazah, pahalanya bersamaan sebesar bukit Uhud.



Kalau balik solat sahaja, fuh, menderu-deru orang keluar. Lebih baiklah duduk sebentar mengaji  atau baca al matsurat dulu. Hotel sediakan breakfast selepas solat subuh, lunch selepas solat zohor dan dinner selepas solat isyak. Kalau balik hotel pun susahnya sebab nak tunggu lif. Lifnya kecil sahaja, pengunjungnya ramai. Kalau masuk dek orang Turki, mau penuh dah. Alternatif – naik tangga- tapi tingkat 9. Oleh itu alternatif lagi, sebelum balik hotel singgah dulu kedai –kedai yang ada dalam perjalanan balik. Hehe. Tak pernah dibuat subuh-subuh sepii membeli-belah. Memang banyak je kedai buka lepas solat subuh. Taklah beli banyak pun sebab bukan kaki shopping, jadi penasihat pada orang je.
 
Selain kurma, tengok gelang, cincin, minyak atar.
Zoom daripada bilik hotel. Kredit: Adam Ahmad Saifudin

Ruang bawah tu penuh kedai-kedai Kredit: Ahmad Saifuddin
Tepi-tepi hotel ni pun ada kedai-kedai. Kiranya tak susah la kalau nak membeli barang keperluan .

Saturday, December 16, 2017

Perjalanan mencari keredaan Allah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 1)

Memandangkan giliran mengerjakan haji berpuluh tahun lagi, eloklah jika kita dapat mengerjakan umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Tengok orang atau artis pergi umrah setiap tahun, kan, mudah je kan.  Tambahan lagi bila cuti sekolah ni iklan umrah berlambak-lambak. Ada yang berkemampuan dari segi duit, tapi niat tu takde, katanya tunggu seru. Ada yang berniat sangat ingin pergi, tapi fulusnya tiada pula.  Namun percayalah bila dalam hati kita dah terdetik nak pergi, peluang untuk pergi itu insyaAllah ada. Banyak ruang dan peluang yang tidak disangka-sangka akan memudahkan perjalanan.

Pertama kali pergi, risau juga sebab ini bukan melancong tapi ibadah. Biasa pergi melancong dengan jeans dan kasut sukan, hai macam tak kena pulak pergi umrah. Syaratnya tutup aurat, kan.  Aha, jubah dan dalamnya jeans.  Mudah nak tolak beg besar.  

Seperti mana kita bersedia untuk menempuh beribadat di bulan Ramadan. Begitu juga untuk umrah. Wajib hadir untuk kursus umrah. Jangan ingat dapat A dalam subjek agama SPM dan baca sahaja daripada buku dah boleh pandai. Mencari ilmu dengan berguru baru ada manfaatnya sebab guru boleh menegur jika ada salah dan membetulkan. Saya hadir 3 kali kursus umrah, bila sampai di lapangan, macam dah lupa juga apa yang dikursuskan.  Terkejut juga bila semua tempat yang pergi seperti miqat, tawaf dan saie memang ramai.  Kena ada orang juga meneman untuk ingatkan.

 Jaga mulut jaga hati itu yang sering dipesan oleh orang ramai. Tanah Haram, apa yang diucapkan makbul.  Kalau yang buruk diucapkan bertambah dosa pula lagi. Dan itu juga yang menjadi sebab ada sesetengahnya takut  nak pergi sebab dapat balasan ‘cash’. “Banyak sangat baca Mastika tu,” kata ustaz masa kursus. Memang betul pun, dari dulu lagi memang selalu baca tu pun. Bermacam-macam seksaan diterima. Alah macam tengok cerita Tanah Kuburlah. Balasan yang baik tu sedikit sekali diceritakan. Tapi jangan lupa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Kenapa kita tak ubah kepada, kita cakap yang baik pun dapat ‘cash’ terus.  Contoh mudah, saya  beli makanan nasi dan ayam panggang. Lepas tu kawan sebilik terpandang pula fun fries, teringin sangat nak makan. “Jom beli.” Saya cakap, ni pun dah banyak, tak terhabis nanti. Masa balik ke bilik eh eh, ada pulak 2 batang fun fries dalam tu. Dapatlah hilang kempunan dia nak makan. Padahal semalam masa beli menu yang sama tak ada pula kentang tu. Itu benda yang nampak. Sedangkan banyak lagi nikmat yang Allah kurniakan yang tidak terjangkau di fikiran kita.

Mengerjakan umrah, peluang untuk  kumpul pahala banyak-banyak. Malah untuk mengenali lebih dekat Rasulullah dan sahabat.  Menaiki Saudi Airlines kami seterusnya mendarat di lapangan terbang Madinah. Ahlan wa sahlan Madinah. Bandar raya Nabi.  Alhamdulillah. Hanya kami sahaja ketika itu, urusan imigresen berjalan lancar cuma masalah beg lambat keluar.  Keluar sikit lepas tu conveyor berhenti. Sebenarnya awal penerbangan lagi ada masalah kargo dan dia pindahkan barang. Rasanya  itu sebabnya. Ujian pertama, tunggu beg.  Zohor dah masuk. Kalau solat sekarang, tiba-tiba beg keluar, siapa pula yang nak ambik. Masih fikir keduniaan lagi tu.  Semua ingat nak solat kat hotel saja rancangan awalnya.  Akhirnya, ada jemaah bersuara, jom kita solat. Muhasabah diri. Orang sana, masuk sahaja waktu solat, memang semuanya solat, semuanya ditinggalkan. Dan di mana-mana sahaja boleh solat, bentang lapik, menghadap kiblat dan solat.
KLIA
Perjalanan ambil masa 8 jam 27 minit. Sampai tu patutnya tengah hari.
Sedap juga nasi lemak dalam ni. 
Cantik binaan di airport Madinah ni

Tunggu beg


Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu, Ya Allah. Jangan kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan kau uji kami dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami, Ya Allah. Astaghfirullah
– petikan daripada buku Prof Mohd Kamil, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Saya tulis doa ni di post-it notes dan tampal di buku untuk dijadikan panduan dan reminder selalu. 
Laluan ke Masjid Nabawi
Dataran Masjid Nabawi

Perjalanan ke hotel melalui tanah perkuburan Baqi, kemudian ternampak orang berbondong-bondong dari satu arah. Kelihatan menara dan ‘payung’ dari kejauhan, walaupun hanya melihat Masjid Nabawi daripada gambar sahaja, confirm dah inilah masjid yang dirindui oleh ramai orang yang telah menziarahinya.  Hotel Durrat Andalus  nama hotel kami, menjadi tempat persinggahan ramainya jemaah Indonesia, Malaysia dan selebihnya Algeria dan Turki. Sebaik sahaja dapat kunci cepat-cepat bersiap nak solat maghrib. Tak tahu juga arah yang dekat sebenarnya. Dalam lif jumpa orang Algeria. Dia tegur, “Jemaah”, kitaorang pun tanya la ikut mana. Cakap Inggeris sikit-sikit sahaja, siap pimpin tangan kami. Memang dekat, lalu 3 blok sahaja. Dia tunjuk air zam-zam suruh minum. Belum sempat ucap terima kasih dah hilang. Indahkan, semua orang Islam itu bersaudara walaupun berbeza warna kulit dan dari mana datangnya.  Kena tahu bahasa Arab ni untuk berinteraksi.  Ada orang tu siap tanya saya, aduhai spontan je jawab “la lughatul arabiah” Haha macam ada yang tak kena je, tapi kira bolehlah tu.  Sebelum datang memang dah hafal sikit-sikit. Lupa eh bila tak biasa.

Thursday, November 9, 2017

Terminal bersepadu

Terminal bersepadu seperti KL Sentral atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) memudahkan orang ramai mengunakan pengangkutan awam yang  menyambungkan kedua-dua stesen ini untuk pergi ke mana-mana.

Bagi pengguna bas dari utara, dulunya bas berhenti di Puduraya, dan dari situ boleh ambil bas atau naik lrt untuk balik ke PJ. Setelah bas berpindah ke TBS lagi mudah, ada ERL untuk ke Putrajaya/Cyberjaya atau KLIA, ada LRT untuk  ke bandar raya dan ada KOMUTER untuk ke bandar raya atau Seremban.

Oleh itu pengguna boleh membuat pilihan sama ada nak cari pengangkutan yang lebih murah atau mahal tapi lebih cepat. Semuanya di atas pilihan kita. Semasa saya baru mencuba naik bas di TBS ni, saya memilih komuter untuk ke KL SENTRAL tapi setelah 3 kali naik, terpaksa menunggu  lama dan setiap kali naik juga orangnya terlampau ramai. Tak pernahnya dapat tempat duduk. Bayangkan dengan beg besar dan orang ramai yang berhimpit. Sambil tunggu tu tengok  LRT yang di seberang dah dua tiga kali berlepas.  Penantian itu satu penyiksaan, kali ni bijak sikit. Mula-mula, tengok jadual  tren sampai di stesen komuter.  Nampaknya kena tunggu  40 minit lagi. Oleh kerana lambat lagi saya buat keputusan naik LRT.

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan tak boleh sampai terus ke KL Sentral  sebab dia laluan lain, jadinya kita akan bertukar tren  nanti. Kalau naik komuter, tak perlu tukar tren.  Oleh itu laluannya begini:

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan  ke Stesen Hang Tuah dan dari Stesen Hang Tuah tukar naik monorel  (tak perlu EXIT) ke KL Sentral (keluar di Nu Sentral) Tambang  RM4.50. Naik LRT orang tak seramai naik Komuter.

LRT Bandar Tasik Selatan ---.> Stesen Hang Tuah ---> monorel  stesen Hang Tuah ---> stesen KL Sentral
Stesen Hang Tuah. Pada mulanya saya plan nak solat di KL Sentral je, tapi bila turun LRT nampak ada surau di sini. Oleh itu solat di sini dulu. Kecil je suraunya, dalam 4  orang solat serentak boleh lagi.

Boleh lihat di sini untuk memastikan arah laluan.




Setelah selesai urusan di KL Sentral, saya nak pergi ke Damansara Damai pula.  Laluannya begini:

MRT Muzium Negara (dari KL Sentral juga,  cuma nama stesennya muzium negara dan jalannya jauh sikit tapi masih dari KL Sentral juga)  ke MRT Sg Buloh dan dari situ naik feeder bus ke Damansara Damai. Tambang MRT dalam RM3.50 rasanya.  Feeder  bus RM1.00

MRT Muzium Negara ---- > MRT Sungai Buloh ---> Feeder Bus

Ya itulah bersepadu kerana semuanya boleh dihubungkan. Ia memudahkan kita.  Tapi kena bersenam sikitlah ya. Turun naik eskalator.
 
Di Stesen Sungai Buloh, ada dua exit, exit Selangor tu akan keluar ke jalan besar jangan ambil tu, jalan terus je turun eskalator. Arah bangunan meletak kereta. Kat sini banyak bas perantara untuk pelbagai laluan.

Rujuk jadual ni untuk pastikan nombor bas yang mana dan dia masuk tak laluan kita nak pergi tu. Damansara Damai,  nombor bas T103.


Bagi laluan balik ke TBS


MRT Sungai Buloh  ke MRT Merdeka  dan tukar ke LRT Plaza Rakyat,  tak perlu touch tiket untuk EXIT, boleh terus naik LRT ke arah Bandar Tasik Selatan untuk ke TBS.  (tambang  lebih kurang RM 5 rasanya. Tak ingat.)

MRT Sungai Buloh ---> MRT Merdeka ---> LRT Plaza Rakyat ----> LRT Bandar Tasik Selatan
MRT Sungai Buloh. 

MRT Merdeka bersambung dengan LRT Plaza Rakyat

MRT Stesen Merdeka menarik juga, ada lambang dan bendera setiap negeri. Negeri Perak punya jauh la pula, tak dapat tangkap gambar. 

Kita ikut sahaja panduan papan tanda ni untuk bertukar naik lrt pula. InsyaAllah tak sesat.

Bagi yang tak biasa, tengok dulu laluan mana. Untuk ke Terminal Bersepadu Selatan, berhenti di stesen Bandar Tasik Selatan. Laluan yang berwarna maroon.  


Bagi sesiapa yang memang mengira bajet, boleh kira-kira dahulu mana yang lebih menguntungkan. Saya pakai kad touch n go, jadi mudah juga walaupun bertukar-tukar tren tapi tak perlu berhenti untuk beli tiket.

 
Guna touch n go senang sahaja, naik bas, lrt boleh guna, kelemahannya, kita tak ingat kita bayar berapa sebab just touch n go hehe. Kalau orang tanya pun tak ingat. Yang pastinya, setiap tambang sekali perjalanan purata RM5. So pastikan anda top up kad secukupnya.  Kad TBS tu untuk makan di Food Court, makanan situ mahal juga. Kalau nasi  rata-rata 6.50 ke atas, belum campur air lagi. Biasanya saya top up kad ni RM10. Di food court ni tak boleh pakai wang tunai. Kalau ada baki dalam kad ni boleh minta semula tapi saya simpan je sebab biasanya baki tinggal 10 sen 20 sen. Next time datang lagi just top up kat situ.