Friday, April 29, 2011

iPad 2

iPad 2 dah keluar. Kalau sebelum ni kita tengok kat negara lain memang orang berbaris panjang sebab nak dapatkan iPad 2 ni. Hari ni secara rasminya dah jual kat Malaysia. Sendiri nak beli,tak mampu. So hari ni buat kebajikan sikit...tolong berbaris untuk beli iPad2. Lagipun nak jadi sebahagian daripada sejarah.

Saya ni buta IT sikit. So kena bawak nota yang mana satu yang nak. Memandangkan kedai kat Sunway yang promote so pergi kat sana. Ingat nak pergi pukul 7 lagi, hujanlah pulak malas nak berebut dengan orang yang pergi kerja.

Mak ai sampai sana kul 8.30 orang dah berbaris panjang. Lampu pun tak buka lagi. Betul-betul 'gila' derang ni. Ntah pukul berapalah derang datang. Kat depan saya je pun dah dekat 200 orang. Nasib baiklah dah mengalas perut di rumah. Tak tau nak sembang apa dengan orang lain. Maklumlah tak reti bab-bab ni. Mati kutu kat situ. Senyum ajelah dengar orang-orang depan sembang.

Pukul 9.30 dah mula buka lampu. Pintu pun dah buka separuh. Semua orang excited. Orang depan dapat goodie bag rasanya. Huhuhu saya tak dapat pun. Bagi melancarkan pembelian, dia bagi kad yang bertanda iPad 2 warna putih atau hitam, yang 32 GB ke yang 3G ke yang Wi-Fi ke..dia cakap kalau boleh jangan tukar pilihan sebab senanglah nak uruskan. Belum buka lagi dah dengar ada yang out of stock. Isy isy isy.

Pukul 10 akhirnya dibuka. Setiap orang boleh beli maksimum dua iPad 2. Pelanggan yang pertama beli 2. Dan semuanya tepuk tangan kerana berjaya jadi pembeli pertama. Siap ada sorak-sorak lagi. Pelanggan seterusnya pun beli 2. Isy isy ish macam manalah tak habis stok.

Akhirnya tiba giliran, yang saya nak beli tu takde warna putih. Memandangkan bukannya seringgit dua okeh so kenalah call dulu nak confirmkan nak yang mana pulak. "Kejap ya saya telefon dulu." "Ok lepas tu you cari saya." Bla bla bla..16GB, takde 3G bla bla, 34GB wi-Fi je bla bla bla. Akhirnya tak jadi beli. Tak boleh order, kena tunggu another shipment.

Turun kat kedai tingkat bawah pula, sold out juga. Esok baru masuk stok. Kat sini kena isi borang tempahan. Borang tempahan pun habis. So sesiapa yang nak, esok datang awal-awallah nampaknya. Kalau adalah.

Bawak balik price list ajelah. Bagi orang yang tak berkeinginan sangat nak pakai iPad 2 takdelah rasa kecewa sangat. Biasa je.
Dapat gelas ni aje pun dah puas hati. Hehehe

Thursday, April 28, 2011

Roti Tisu

Mula-mula kenal Roti Tisu ni dalam 4-5 tahun lepas dekat Aman Suria. Tapi masa tu datang berdua je so mesti tak boleh habis kalau order. So tak merasa le. Kali kedua pula masa duk sembang-sembang dengan kawan sepejabat...semuanya excited nak cuba. Masa lunch time tu kita orang bersemangat waja ke SS2 nak makan. Alih-alih orang tu kata tak ada. Pukul 3 baru ada. Ya tak ya orang lain lunch makan nasi kitaorang mintak roti pulak. Hmm ... buat lawak je.

Selepas beberapa tahun, ni ha baru dapat cuba. Kitaorang pergi kat Ampang.

Tinggi roti ni tak sampai 1 meter, hampir-hampirlah jugak. Sesuai untuk makan 4 orang. Terpaksa dibaringkan barulah senang nak makan. Kalau kat tempat lain roti tisunya tak tinggi macam ni. So kalau nak order tu tengok tempat dulu ya. Jangan terpesan lebih!! hehe

Rasa macam roti boom sebab ada gula tapi versi nipis. Orang tu tak bagi kuah pun tapi dah biasa mencicah, mesti nak pekena kuah juga barulah sedap. Rasa rangup je. Sayangnya tak habis makan. Minum three layer tea banyak sangat sebab lama nak tunggu dia buat. Maklumlah rotinya besor, kan. Apa pun puas hati sebab dapat cuba dan meluangkan masa dengan saudara- mara dan makan free...ngee.

Wednesday, April 27, 2011

Kafe Spize

Dah lama tak jumpa geng yang suka makan ni. Kitaorang memang selalu pergi cuba tempat-tempat yang biasa direkemenkan dan lepak kat situ. Selalunya tak cukup korum, ni dah cukup korum kita pergi cuba kedai baru buka kat Bandar Sri Permaisuri. Menyajikan masakan ala barat dan masakan tempatan yang terkenal.


Dekorasi ciri-ciri kampung dan moden

Menunya menarik perhatian juga macam Mee Goreng Macha, Milo Dinosaur, Milo Godzilla dan Nasi Goreng Amoy. Mungkin next time kat menunya kena tulis isi kandungannya apa supaya waiter tu tak berulang kali menjawab yang ni macam mana, yang ni apa..hehe. Sian kat waiter tu.

Snek sementara nak tunggu air, Nachos dengan sos salsa. Saya suka ni sebab atas dia macam cheezy wedges, mayo ngan cheese. Sosnya pulak dah macam air asam pulak tengoknya siap ada cili jeruk lagi. Alamak rindu makan ikan pangganglah pulak.

Kitaorang pilih air-air yang lain sikit rupanya...apa barang pilih menu biasa-biasa, kan? Yang warna biru tu namanya mojitos. Untuk orang yang suka sesuatu yang baru sahaja ya. Ada timun dan cili api dalamnya.

Nasi Goreng Spize, Fettucine Carbonara dan Grilled Chicken. Untuk dessert Sagu Gula Melaka dan Puding Milo.

Grilled Chicken.

Alhamdullillah, kenyang. Sosnya sedap.

Sekarang ni tengah ada set lunch promotion dari 12.30-2.30 hanya RM6.90 (free drink & free dessert)

No 19, Jalan Dwitasik 2,
Dataran Dwitasik
03-91716534.

Tuesday, April 26, 2011

Birthday Cake

Saya memang tak pandai nak dekorasi kek. Keras betul tangan ni tapi bila lihat Kak Kelly punya blog dapatlah idea macam mana nak hias cupcake ni. Bangga dengan hasil kerja sendiri..hehehe. Full of chocolate.


Tanpa disangka-sangka...surprise cake untuk hadiah birthday selepas 4 bulan. Punyalah lama postpone sambutannya. Apa pun thanks to Mek Z sebab still ingat. Orang tak kisahlah tahun ni tak ada hadiah..tapi rezeki jangan ditolak. Yummy kek aiskrim coklat ni.

Monday, April 25, 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Yang Ke-30

Dulu-dulu selalu pergi hari minggu, kali ni pergi hari biasa. Memang relaks sikit walaupun ramai juga yang datang terutamanya rombongan budak sekolah. Walaupun dah mula 22 hb April yang lepas, baru hari ini dirasmikan oleh TPM Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin. Patutlah ramai yang pakai baju kurung tadi, mungkin para jemputan khas kot.

Sedikit tip untuk pengunjung:

  1. Banyak cara nak datang PWTC ni, kalau berkereta boleh park di PWTC RM8 sekali masuk, Hentian Putra yang berhadapan dengan PWTC RM3 sekali masuk. Naik komuter pun boleh juga tapi penat juga nak berjalan. LRT STAR berhenti di stesen PWTC seberang sahaja dan akan masuk ikut pintu belakang. Kalau naik bas ambil sahaja mana-mana yang ke arah Chow Kit, tapi tak masuk dalam so kenalah menapak beribu batu. Kalau ada bas yang masuk dalam pun tak banyak.
  2. Prepare duit yang cukup so tak payahlah nak pergi ATM lagi. Selalunya ATM dah berbaris panjang. Kalau kat The Mall banyak sikit mesin ATMnya.

  3. Makan sarapan kena cukup nanti pengsan pulak bila banyak berjalan. Banyak nak tengok. 4 keping roti sahaja tidak memadai buat saya, perut dah lapar hehehe banyak tenaga dikeluarkan untuk berjalan dan berfikir.

  4. Kalau ada kedai buku pilihan yang memang nak pergi, baik tengok peta dulu mana lokasinya. Tak adalah membuang masa mencarinya. Silap-silap duit dah habis beli buku lain. Kan dah lari bajet.

  5. Setiap ceruk pasti ada yang menarik. Jangan singgah tempat beli buku sahaja, pergi ke kaunter pameran badan-badan kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Arkib Negara, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Perpustakaan Negara. Dekat sini boleh dapatkan brosur-brosur secara percuma sebagai rujukan dan pengetahuan. Elok untuk orang yang nak tulis buku sebab boleh tahu dasar-dasar kerajaan. Di kaunter JPN saya dapat hadiah sebab jawab kuiz. Barang-barang free memang best tapi ruang pamerannya tersorok sikit. Susah nak nampak.

  6. Lunch dekat The Mall banyak pilihan. Saya suka pergi food court tingkat atas sekali, banyak warung dan agak murah.

    Pesta Buku habis 1 Mei ni, so selamat membeli-belah!


Bahagian atas: Buku resepi untuk anak saudara supaya dia rajin masak. Macamlah makciknya rajin memasak. Ahaks! Buku resepi dan motivasi Dr Tuah, mak kirim sejak awal lagi.

Bahagian bawah: Untuk saya, memerlukan suntikan motivasi, buku dari Saba Islamic Media dan semestinya buku kraf yang berkaitan coklat.

Friday, April 22, 2011

Origami

Nak letak langkah demi langkah memasak macam orang lain, tak pandai. Pandai makan je. Ni langkah demi langkah buat kotak dari kad. Sesiapa yang tengah kerja tu nak berehat sekejap cuba buat ni untuk hilangkan mengantuk. Minta kad raya dari bahagian admin, tengok derang ada simpan lagi tak. Pakai kad CNY lagi kemas sebab kertas dia keras berbanding kad raya Aidilfitri. Lagipun kad CNY warnanya terang-terang. Menyerlah.


Origami merupakan satu teknik lipatan kertas / kad menjadi satu benda yang lain. Tanpa perlu gunting, pembaris atau pen. Tapi boleh guna barang-barang tersebut untuk nak bagi lebih kemas.

Kotak ni boleh isi barang-barang kecil ataupun gift untuk kenduri kahwin. Boleh letak gula-gula dalam ni.

Mula-mula buat garis pusat dulu. Betul tak ayat Matematiknya? Lupa la pulak.

Sebenarnya boleh lipat dari satu penjuru ke satu penjuru tu kalau nak dapatkan titik tengahnya tapi nanti akan nampak berkedut kat depan so kita tanda je dengan pen.

Lipat keempat-empat penjuru tu ke tengah.

Lipat di kiri kanannya pula ke tengah. Macam bentuk pintu. Lepas tu buat belah kiri dan kanan bahagian yang satu lagi. Timbal balik.

So dah dapat setiap garis-garis ni untuk senang kita nak melipat kemudiannya. Gunting seperti dalam gambar (2 bahagian).

Lipat ikut garisan-garisan yang kita dah lipat tadi untuk membentuk kotak. Tekan dengan pembaris atau gunting di setiap lipatan tu supaya nampak kemas.

1 kad tu ada 3 bahagian, kan. So cukup untuk buat cover. Kertas dalam tu, yang selalu kita tulis daripada siapa boleh buat untuk isi dalamnya macam buat pengalas. Kalau buat cover sebenarnya kena kad yang besar sikit tapi boleh pakai kad yang sama tapi bila dah siap tu kena tarik-tarik sikit bagi dia besar dan boleh tutup nanti.

Tuesday, April 19, 2011

Ikan Goreng Berlada

Ni resepi orang Mandailing kot sebab arwah nenek suka makan ni. Biasanya nenek untuk perempuan kan? tapi kalau ikut bahasa Mandailing nenek tu tuk.

Ikan apa-apa pun boleh tapi yang bestnya ikan sungailah sebab rasanya yang lemak. Yang ni pakai ikan terubui. Kena panggang dulu.

Lepas tu buangkan tulang-tulangnya dan ambil isi je. Cabai masak ngan bawang merah tumbuk. Mula-mula gorengkan isi ikan tu sampai kekuningan. Angkat dan letak tepi dulu. Pastu goreng cili ngan bawang sampai garing. Bila dah garing baru masukkan ikan tu. Tutup api sebab time ni mudah jadi hangit tapi still kacau bagi sebati.
Siap!

Sedap tak terhingga..tak rasa macam makan ikan. Rasa makan kudap-kudap je.

Monday, April 18, 2011

Kuala Kangsar (KK)

Entri sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Perak cuti esok (19Apr11). Sebelum ni pernah nak hantar peraduan pasal percutian ke KK so memang dah ada semua maklumat dan gambar ni.

Terdapat 10 daerah di Perak. Hulu Perak, Manjung, Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Batang Padang dan Hilir Perak.

Kuala Kangsar istimewa sebab merupakan Bandar Diraja. Antara keistimewaannya dari kaca mata sendiri:

Jam besar ni lah titik tumpuannya, terletak di tengah-tengah. Tempat yang akan sesak setiap kali raya atau cuti umum.Kalau tak jumpa jam ni maksudnya tak sampai lagilah pekan Kuala. Dikhabarkan ketika tahun 1960-an ada bah besar sehingga menenggelamkan sebahagian besar jam ni.


From KK to London ... boleh tangkap gambar kat kawasan ni. Kalau sesiapa nak dapatkan maklumat pelancongan boleh singgah kat sini dulu, Dataran Putra.


Masih terdapat kedai-kedai lama. Sesuai untuk buat penggambaran cerita-cerita lama. Walaupun bangunan lama ish jangan pandang sebelah mata, ada Guardian, 7 Eleven, Pizza Hut, ... tapi kalau kepingin McD, kenalah ke Ipoh juga.


Laman Galeri Sultan Azlan Shah. Dekorasi kat KK ni mesti ada replika labu Sayong. Maklumlah dah memang terkenal dengan pembuatan labu. Originalnya warna hitam tempat isi air. Orang dulu-dulu takde peti ais so kalau isi air dalam labu ni, airnya sejuk je rasa. Tapi sekarang ni orang jadikan hiasan dan warna pun dah macam-macam.

Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan.

Bayaran masuk RM4 seorang untuk dewasa. Pada tahun 1903 bangunan ini, dikenali sebagai Istana Ulu di mana Sultan Idris I mula bersemayam. Istana ini telah dibaik pulih sempena 100 tahun pembinaannya pada tahun 2003.

Di dalamnya ada ruangan untuk sultan-sultan terdahulu, koleksi persendirian Sultan Azlan, zaman persekolahan, anugerah darjah kebesaran, pertabalan sultan dan banyak lagi.

DYMM Sultan Azlan Shah dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah TInggi Malaya ketika berusia 37 tahun. Mencatatkan sejarah sebagai hakim termuda di antara Hakim-hakim Mahkamah Tinggi di negara-negara Komanwel. Baginda memang meminati sukan hoki sejak zaman persekolahan lagi dan pernah menjadi Pengurus Pasukan Hoki Malaysia di Sukan Olimpik Munich pada 1972.

Turut dipamerkan di sini hantaran perkahwinan DYTM Raja Dr. Nazrin Shah dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim pada 18 Mei 2007. Malah turut dipamerkan sekeping gambar anakanda baginda YM Raja Azlan Muzaffar Shah bin DYTM Raja Nazrin Shah yang diputerakan pada 14 Mac 2008. Di kawasan luar pula terletak Galeri Kereta dan Kedai Cenderamata untuk pengunjung.


Masjid Ubudiah.

Memang menjadi tarikan pelancong dari luar negara. Dibina pada zaman Sultan Idris Mursyidul Azam (1887-1916). Semasa baginda berehat di dalam lawatan di Port Dickson, baginda telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya kesihatan baginda pulih. Setelah berangkat balik ke KK, baginda telah menitahkan Kolonel Huxley dari JKR untuk mereka bentuk sebuah masjid.


Istana Iskandariah

Terletak di Bukit Chandan. Istana Iskandariah telah disempurnakan pembinaannya pada tahun 1933 dan diambil nama bersempena Sultan Iskandar Shah (1918-1938). Baginda yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya. Ramai jugak orang joging kat sini. Pusing istana ni, sekali pun dah penat. Jauh wo.


Istana Kenangan/Istana Kerawang

Kini dijadikan Muzium Diraja Perak. Dibina pada tahun 1926, bangunan ini pada asalnya tempat persemayam sementara disebabkan pada waktu itu Istana Iskandariah masih dalam pembinaan. Di dalam muzium ini dipamerkan sejarah kesultanan dan menyimpan khazanah alat-alat kebesaran negeri Perak. Pengunjung berpeluang menyaksikan koleksi-koleksi peribadi sultan-sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Ia dibina tanpa paku.



Mengimbau kenangan lagu Perak Darul Ridzuan

Sempena Hari Keputeraan ni pelbagai aktiviti yang ada. Sukan ayor memang selalu ada. Dengar ceritanya ada jamuan rakyat kat Arena Square. Kenalah dengar Radio Ipoh kalau nak tahu apa yang ada. Awak mendengor radio lain. Idak le tau apa yang ada. Sejak Usop Wilcha popular senang sikit nak bercakap Perak tanpa perlu dialih bahasa hahaha.