Wednesday, September 11, 2013

Aroma Antara Benua

Dah lama buku ni ada di depan mata, tapi ni lah baru habis baca. Bukannya tak best tapi ‘zaman membaca secara terus-menerus’ tu dah hilang.  Baca sikit, sambung kemudian dan kemudian sehingga berbulan-bulan lamanya.




Tajuk: Aroma Antara Benua
Penulis: Roza Roslan
Penerbit: Galeri Ilmu, Petaling Jaya, Selangor       Cetakan Pertama 2013
ISBN: 978-983-097-407-1
Harga: RM48 (Semenanjung Malaysia), Sabah/Sarawak (RM50) beli di Pesta Buku Antarabangsa ada potongan harga.
Halaman: 425 m/s

Blurb:
“Puan makan cili kering rupa-rupanya. Maaf saya terlupa menerangkan yang sesetengah bahan seperti cili kering, halia dan bawang besar di dalam ayam ini tidak perlu dimakan jika tidak suka. Lada ini semacam bom. Amat bahaya. Halia dan bawang besar ini memang enak sekali dimakan bersama ayam bergajus.
Allahu Akbar!

Kami mempelajari sesuatu tentang budi bahasa orang Inggeris. Mereka mahu menjaga air muka tuan rumah sehingga langsung tidak mencebik walaupun makanan yang disuap ke mulut tidak kena dengan selera mereka. Hatta kepedasan yang amat sangat mahu ditahannya.

Komen: 
Istimewanya  ia bukan sekadar resipi malah setiap kejadian di sebalik makanan yang terhidang itu ada tanda kebesaran Allah yang perlu difikirkan. Kadang-kadang bila kita baca buku motivasi, masa tulah semangat membuak-membuak lepas tu biasanya hilang. Tapi buku ini juga boleh dikatakan memberi motivasi kepada saya dan ia terkesan di hati kerana mengajar supaya berfikir tentang apa yang telah Allah kurniakan.

Di dalam Resipi 39 Kabsah Madinah diceritakan tentang banyak pandangan negatif yang diberikan oleh kebanyakan orang tentang sikap orang  Arab Saudi yang dikatakan pemalas, teruk dan macam-macam lagi. Tetapi suami beliau menyatakan, “… tidak semua orang Arab begitu. Bukankah kita sentiasa berdoa supaya Allah temukan dengan orang baik-baik dalam hidup kita. Fikiran saya mudah. Jika ada seratus orang, sembilan puluh orang jahat dan sepuluh orang baik, biarlah kita bertemu dengan yang sepuluh itu. Awak ingat semua orang Melayu baik? Paling penting kita bergantung pada Allah. Mohon pada-Nya.”

Sifir yang mudah. Bersangka baik dan bila kita berbuat baik orang tersebut juga akan terasa malu pada kita dan tanpa disedari mereka akan menghormati kita dan dari situ terjalin persahabatan.





No comments: