Wednesday, April 22, 2015

ETS Ipoh - KL

Satu cara yang mudah nak pergi KL tanpa perlu memandu. Naik ETS. Masa perjalanan 2 jam 20 min atau kadang-kadang boleh jadi 2 jam 30 minit.  Tambang RM35 dewasa. Warga emas setengah harga. Paling awal pukul 5 pagi. Paling sesuai naik pukul 8 pagi. Idak le nak berambat pagi-pagi.  Untuk jadual  waktu perjalanan, boleh google sahaja. 

Letak kereta di depan stesen ni sehari RM 8. Ok la tu, sebab kita pun tak boleh nak agak pukul berapa nak balik. Ohh tapi ini harga 3,4 bulan yang lepas, sebelum gst. Harga terkini tidak pasti. 

Di sini ada juga yang pakai kupon, yang tu dari Majlis Bandaraya. Jadi pastikan anda park di tempat yang betul.
Kalau diikutkan, bila kongsi ramai-ramai naik kereta lagi murah dan boleh la pergi melencong ke tempat lain. Tapi kalau hanya anda seorang je yang drivenya, nak balik hari pulak tu.. hai baik la naik ETS ni. Boleh berehat sambil tengok cerita yang disiarkan atau buat kerja lain.  Tapi kalau balik hari, cerita yang diulangnya sama sahaja. So kalau anda naik pukul 8 dan balik pukul 8 malam juga. Cerita yang sama akan ditengok. Jadi ambil kesempatan megholoh zzzz.

Kalau dah nampak Rawang tu, tak jauh maknanya dah.
Memang senang naik ni kalau ada apa-apa acara nak pergi.  Ok minggu ni dah start Pesta Buku Antarabangsa. Laluannya:

ETS Ipoh –  berhenti KL Sentral – naik LRT ke Masjid Jamek- transit, tukar LRT -  ke PWTC (hentian akhir Sentul)

Boleh juga dari KL Sentral naik komuter, tapi saya rasa naik LRT lagi dekat turunnya terus ke PWTC. Sediakan touch n go. Kalau tersalah naik tren pun tak mengapa. Lebih mudah sebab tak perlu beli tiket. Dulu-dulu ada dua jenis LRT, PUTRA (warna merah putih) STAR (kuning) dan kita kena beli tiket beza. Tapi sekarang ni dah bersepadu jadi bila beli tiket pun senang sahaja sebab cuma pindah tren sahaja. Bagus.



Ok untuk beli-belah raya nanti he he he. Jalan TAR.

ETS Ipoh – berhenti KL Sentral- naik LRT ke Masjid Jamek. 

Ok turun sahaja Masjid Jamek tu dah boleh shopping –shopping jalan Masjid India dan menghala ke jalan TAR, Semua House , Sogo dan Pertama Kompleks. Kalau rasa dah banyak sangat barang yang bawa dan nak patah balik udah tak sanggup.  Begini laluannya:

Masuk Sogo dan pergi arah belakang, nanti akan nampak signboard menuju ke LRT Bandaraya. Senang je tak payah lintas jalan sebab laluannya  bersambung dengan bangunan Sogo.

LRT Bandaraya – Masjid Jamek - transit - KL Sentral - ETS - Balik Ipoh 

Di KL walaupun banyak pasar rayanya, tapi yang paling dekat di hati, Amcorp Mall kerana ada flea market setiap Sabtu dan Ahad. Di sini sahaja yang nampaklah barang yang boleh dibeli. Kalau pergi Pavilion atau KLCC, ish ish ish tak seronok langsung. Sekali saja dah cukup. Ok laluannya:

ETS Ipoh - KL Sentral - LRT ke Taman Jaya (hentian akhir Kelana Jaya)

Saya merupakan antara pengguna LRT yang terawal. Hujung 90-an rasanya. Maklumlah masa tu rumah dekat dengan LRT. Jakun sikitlah. Tapi kan sejak dari awal sampai la ke tahun 2015 ni  rasa tren tu sama sahaja. Cubalah tukar sikit yang laluannya tu ada lampu yang boleh nyala klip klip setiap kali sampai di sesebuah stesen tu macam dekat negara lain. Ni kalau dengar pengumuman suara je kadang bila tengah khayal, eh sampai kat mana ni ek. Tercangak-cangak jadinya. Orang lain setuju tak?? Haha marah pak menteri. 

Dalam banyak-banyak negara yang dilawat, pengalaman naik pengangkutan awam di Jepun dirasakan paling menarik. (Pengalaman selama 5 hari sahaja). 

  • Telefon dalam mode senyap  - mula-mula naik tren walaupun ramai dalam tu, tapi senyapnya suasana.Tak ada bunyi telefon atau mesej masuk. Penumpang biasanya membaca, tengok telefon, termenung, dan kalau datang berkumpulan tu bersembangnya perlahan sahaja dan tidaklah satu gerabak tu dengar suaranya. Keesokkan harinya baru nampak di dalam tren  ada sign “Please switch off your mobile phone when you are near the priority seat.”  Gamaknya tu la yang tak dengar bunyi telefon tu. Saya pun dah jadi biasa dan sampai kat Malaysia pun memang biasa silent phone bila naik pengangkutan awam.

  • Kalau nak keluar tren biasanya saya akan tunggu berhenti betul-betul baru bangun (kecuali kalau ramai orang).  Kalau di sana, penumpangnya biasa dah siap bangun dan tunggu depan pintu untuk keluar bila nak sampai. Memang mereka menghargai masa itu emas.
  • Siap berbaris untuk menunggu tren. Biasanya selagi tren belum sampai saya akan duduk dulu, bila dah dengar bunyi tren datang baru baris. Kalau di sana, jangan harap nak buat macam tu. Kalau tak baris awal memang orang akan bertambah ramai dan memang kita akan ke belakang-belakang.
  • Di sana, tren sampai awal dan masa tu juga akan dibersihkan dalam satu atau dua minit. Hairan juga mulanya sebab tren dah sampai tapi orang yang berbaris tu tak naik pun walaupun pintu terbuka. Rupanya tengah dibersihkan dan tukar arah seat. Macam yang disiarkan dalam Majalah Tiga kelmarin. Ada team pembersihan.
Narita Express (NEX) Narita-Tokyo. Siap palang lagi tak boleh masuk, tengah bersih.

Tuesday, April 21, 2015

Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Zon Utara, Alor Setar



Maktab Koperasi Malaysia

Mengikuti kursus di MKM baru-baru ni. Orang yang tinggal melebihi 25km dari tempat kursus boleh dapat penginapan. Penginapan disediakan di Hotel Koperasi .Agak strategik lokasi di sini untuk berjalan-jalan selepas kursus. Hilangkan stress lepas belajar.
Hotel Koperasi
Dari hotel ke tempat kursus jalan kaki sahaja lebih kurang 10 minit. Kalau hujan pun tak mengapa sebab laluan berbumbung. Kiranya MKM permulaannya dan hotel ni di hujungnya. Terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Dekat situ ada banyak kedai-kedai yang menjual barangan haji/umrah. Untuk cuci mata, boleh lah. Kalau sakit boleh pergi klinik MAHA kat sebelah hotel sahaja.  UTC, City Plaza berdekatan dan Masjid Zahir pun kalau tengok peta tak jauh sangat la.

Sebilik dengan orang Kulim dan orang yang kahwin dengan orang Alor Setar, memang dah biasalah datang Alor Setar ni. Jadinya jalan seorang-seorang. Rugi lepak kat hotel sahaja, masa nilah nak tengok apa yang menarik di sini.  Balik kursus pukul 4.30. Lepas solat mulakan operasi melawat kawasan. Yeah! 

Orang kata, kalau dah datang Alor Setar tak sah kalau tak pergi Pekan Rabu. Dulunya, Pekan Rabu ni terletak betul-betul depan  bangunan MKM ni. Huish memang dekat sangat, seberang jalan sahaja. Tapi sekarang ni dah tinggal tapak. Semuanya berpindah ke Ukir Mall. Orang kata jauh. So naik la teksi, senang nak dapat teksi kat sini sebab memang hentian teksi dan bas di sini.

“Berapa ringgit?”

“2 ringgit.”

Dalam hati, “Impossible, 2 ringgit je tapi mungkin dekat tu yang murah”.

Bila dah sampai sambil menghulurkan 2 ringgit. “10 ringgit cik”

“Lor 10 ringgit ke.” Hurrm dah sampai, bayar ajelah. Salah dengar rupanya tadi haha.

Macam-macam jual di sini, baju, telekung, tudung, buku, barang jamu, makanan tradisi. Saya beli jajan je untuk buah tangan.  Hari pun sudah mahu hujan. Payung tinggal di hotel. Memandangkan sakit hati dah bayar 10 hengget tadi padahal dekat, straight sahaja. Jalan kaki, balik. Lebih kurang 1/1.5 km la. Dekat atau jauh tu susah nak ditentukan. Bila anda bertanya orang yang tak biasa jalan, memang dia kata jauh tapi macam saya biasa berjalan, ok je tak jauh mana.

Hotel Koperasi ni sesiapa pun boleh menginap bukan setakat ahli koperasi sahaja. Boleh cari di fb. Sarapan pagi disediakan dan sambil makan tu dipasang ayat suci al-Quran. Kemudahan lain seterika di luar bilik, wifi laju jugak, sejadah dan tafsir quran disediakan. Boleh masak air, tuala, sabun, tv,hanger semua ada. Katil bujang dan kelamin. Kongsi tiga orang. Cuma rungutan yang banyak dengar dari peserta kursus lelaki sebab katil kelamin. Tak selesa berkongsi. Saya awal-awal dah rebut katil single. Tiada kompelin. Memang selesa duduk dekat sini.


Monday, April 20, 2015

Bijak Tajwid - Cara mudah mempelajari ilmu tajwid

Sekarang ni saya mengikuti kelas tajwid. Diajak oleh jiran. Kiranya banyak jugalah yang terlepas dah. Oleh itu kena lebih rajin study untuk ‘mengejar’.  Kelas dianjurkan oleh Datuk Ku Shima di rumahnya. Kebanyakan masanya dia duduk di KL, jadi untuk memastikan rumah di KK ni taklah ditinggalkan begitu sahaja, beliau taja kelas ni dengan menyediakan tempat, ustaz dan buku. Alhamdullillah. Datang sahaja tak perlu bayar apa-apa.  Kelas dewasa, ramai mak cik yang berumur 60 ke atas pun rajin datang, tak kanlah kita yang muda ni tak boleh datang.

Memang diperlukan kelas ni. Makin banyak belajar macam tak pernah belajar apa-apa pun  sebelum ni. Huhuhu kesian ustazah-ustazah saya semasa sekolah dulu. Sekarang ni dah matang, boleh faham kepentingan membaca al-Quran secara tartil.  Belajar secara talaqqi, ustaz sebut kita ikut, dan sebut seorang-seorang. Makhraj huruf belum berapa betul lagi, dah belajar hukum panjang pendek pun kadang-kadang bila nak apply, kembali semula kepada bacaan lama yang tidak mengikut tajwid. Adoi  dah jadi tabiat. Walaupun beberapa kali ustaz mengetuk meja sebab tak dapat tapi udah besor ni idak le takut dan tak datang pula minggu depannya. Masa untuk berubah.

Jadinya kebelakangan ini banyak tengok buku berkaitan tajwid. Sebenarnya buku ni jumpa Disember 2014 lagi di UTC Ipoh. Buku ni dibalut plastik. Saya pun bertanya di kaunter:

“Boleh tengok tak buku ni?”

“Tak boleh kak, buku ni ada dvd nanti kalau buka takut hilang.”

Plastik tu bukan jenis buka/tutup. Sekali buka terus koyak. Walaupun faham sebab dia tak nak buka 
tapi tak puas hatilah jugak kan. “Saya nak tengok senang ke tak buku ni nak faham, tak boleh ke?”

“Tak boleh kak.”

“Hurrm kalau tak bagi tengok tak nak beli.” Nada ugutan tapi tak kisah pun dia. Hahaha. 

Bila keluar je dari kedai tu menyesal pulak le, ala, RM20 lebih je, bukan rugi pun. Lagi pun ada dvd tu, mesti senang nak faham. Ego punya pasal, malas nak patah balik. Lepas ni kalau jumpa kat mana-mana, terus beli walaupun tak bagi tengok. Gitulah kadang-kadang ‘angin’ tu datang. Nak jugak!!! Cari kedai buku dekat KK takde pulak jual. 

2 minggu lepas, pergi ke Alor Star. Cari buku ni di UTC sebab sebelum ni ada di KB1M. Tak ada jugak. Esoknya jalan-jalan ke Pekan Rabu pulak, eh tiba-tiba nampak buku ni. Penjual tu terus je cakap,

“Boleh tengok ni, kak,” sambil koyakkan plastik tu.

“Nanti kalau saya tak beli, jangan marah pulak.” Saja berbasa-basi walaupun memang niat nak beli.

“Tak pe kak.”

Ha macam nilah bagus, memberi pilihan kepada pengguna untuk membuat keputusan. Walaupun kita ni rugi sikitlah sebab bayar harga asal, kalau di KB1M murah dua atau tiga ringgit. Sudah jadi rezeki orang Alor Star.

Tajuk: Bijak Tajwid (Bonus DVD Bijak Tajwid bersama Ustaz Zamri)
Penerbit: Inteam Publishing  Bandar Sri Damansara.
ISBN: 978-967-03260-0-9
Harga:RM25 (Semenanjung) RM27 (Sabah dan Sarawak). Beli di kedai buku di Pekan Rabu Alor Setar

  Sinopsis:
Buku Bijak Tajwid ini sangat sesuai sebagai panduan dan rujukan bagi mereka yang baru bertatih untuk belajar al-Quran dan ilmu tajwid. Persembahannya yang ringkas tetapi padat menjadikannya sesuai untuk semua golongan dan lapisan pembaca sama ada kanak-kanak, dewasa atau warga tua. Buku ini menyajikan penerangan yang jelas berserta contoh bagi memudahkan pembaca untuk mengenal hukum tajwid, memahami serta mengamalkannya di dalam bacaan al-Quran.

Komen:
Beza buku ni dengan buku tajwid lain, sebab dia ada DVD so sambil tengok DVD kita boleh rujuk buku. Ilmu mesti berguru.  Buku ni untuk pengukuhan sahaja sebab kelas seminggu sekali jadi bila ada dvd ni boleh belajar bila-bila masa.  Ustaz Zamri mengajar budak-budak jadi kita pun senang nak faham. Saya juga suka apps tajwid lengkap dan i read Arabic sebagai alat bantu belajar. Semoga istiqamah.