Tuesday, February 21, 2017

Ucapan Ketika Mendapat Berita Kematian.

Islam itu rahmat kepada semua. Mementingkan ukhuwah sesama kita. Bermula daripada pemberian salam (dan mendoakan) 'Assalammualaikum', dibalas pula oleh orang yang lawan bercakap dengan mendoakan perkara yang sama. Begitu juga ketika bersin, apabila orang tersebut mengatakan 'Alhamdulillah' (Segala puji bagi Allah), yang mendengarnya 'Yarhamukallah' (Semoga Allah memberi rahmat) dan orang yang bersin tadi akan membalasnya semula. Saya pun dah lupa perkataannya sebab jarang diamalkan. Bermakna, kita ini saling mendoakan orang lain tanpa harapkan balasan. Dan tak perlu bayar orang lain pun untuk makbul doa.  

Seiring dengan kemajuan teknologi, kebanyakan daripada kita mempunyai telefon pintar dan sudah pasti tidak sah kalau tiada group WhatsApp. Melalui group ini, berita kematian dapat dimaklumkan dengan lebih cepat dan seterusnya mengetahui waktu atau tempat dimandikan, solat jenazah dan dikebumikan.

Antara ucapan yang akan diedarkan (forward) bagi menyatakan turut dukacita dengan berita tersebut dan mendoakan adalah ucapan di bawah ini ataupun imej surah al fatihah.

Doa ini jika diikut tatabahasanya untuk lelaki.
Namun begitu, di dalam bahasa Arab, terdapat penggunaan ganti nama diri yang berbeza untuk lelaki dan perempuan.

BM :  Ganti nama diri “Dia,kamu,awak” terpakai untuk lelaki (L) dan perempuan (P)
BI: Ganti nama diri “He” untuk lelaki dan “She” untuk perempuan
BA: terdapat 14 ganti nama diri (dhomir) yang perlu diketahui, ganti nama diri seorang (L&P), ganti nama diri kedua (L&P) dan ganti nama diri ketiga (L&P)

Malah ada pembahagian yang lain pula, ganti nama diri yang bersambung tulisannya dengan kata yang lain dan ganti nama diri yang terpisah dengan kata yang lain. Boleh tengok contoh di bawah:

Di dalam video ini diterangkan pasal kitab/buku. Ganti nama yang boleh dilihat, kitabnya, kitab mereka berdua, kitab mereka (L), kitabnya, kitab mereka berdua, kitab mereka (P), kitab engkau, kitab engkau berdua, kitab kamu (L), kitab engkau, kitab engkau berdua, kitab kamu (P), kitab saya/aku (L/P) dan kitab kami/kita (L/P)

Perbezaan ucapan untuk lelaki dan perempuan dapat dilihat daripada perkataan yang bergaris.

Click untuk lebih jelas.

Ha, dapat kesan tak? Lelaki, tanda ganti nama dirinya 'hu' dan perempuan tanda ganti nama dirinya 'ha'. Apabila kita menggunakan ganti nama diri yang tepat, bermakna tidak perlu lagi untuk kita menanyakan orang yang meninggal itu lelaki atau perempuan.

Gambar oleh Idris.
Al-Fatihah buat emak saudara saya yang meninggal dunia pada 16 Feb yang lalu, semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Terima kasih kepada sepupu-sepupu yang sama-sama mengiringi dan solat jenazah sebagai tanda penghormatan terakhir walaupun waktu kerja. Semua ini hasil daripada asas yang diletakkan oleh Tuk dan Pah sebelum ini untuk merapatkan silaturrahim tidak kira ketika duka atau gembira. Harap dikekalkan. InsyaAllah.

Thursday, February 16, 2017

Hipnosis Kucing

Ha, hebat tak? Hehe. Apabila kucing anda tidak mengikut arahan tuannya. Inilah caranya.

Biasa kalau cerita di tv kita tengok orang dihipnosiskan. Ni bukan hipnosis macam tu, saja je gempak ayat. Haha

Ramai yang kata anjing lebih mengikut arahan tuan dan mudah dilatih tapi kucing ni degil sikit. Oleh itu untuk kucing saya ni saya buat macam ni. Tengah malam, masa dia nak tidur, peluk dia dan bisik di telinga dia arahan kita tu. Ulang dalam empat atau lima kali. Arahan kena pendek. Jangan berjela-jela, nanti dia ingat membebel pulak. Tak pasal-pasal kena cakor kucing. 

Testimoni, empat hari buat dan berjaya mengikut arahan. Ada satu hari terlupa nak bisik kat dia, udah buat perangai semula. Sila cuba dengan kucing masing-masing. Bangkitkan fikiran bawah sedar kucing anda. Hahaha ni suka-suka je. Entah berjaya atau tidak untuk hari seterusnya.

Si Kuntum bergaya dengan Cat Cave tajaan Yang.

Cave = Kahf (bahasa Arab)

Hari ni Khamis, digalakkan membaca surah al-Kahf setiap Jumaat untuk elak dari fitnah Dajjal. (Selepas maghrib bermula hari baru.) Jom.



#kuntumTheCat

Friday, February 10, 2017

Jahanam

Bertenang. Ini bukannya nak maki orang. Bukan juga nak bicara tentang cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee 6 Jahanam. Saya cakap pasal bahasa Arab. Jahanam itu neraka.

Orang Perak biasa cakap jahanam ni.

Contoh:
Mana radio yang aku bagitu?
Dah jahanam.

Elok ke jam yang beli haritu?
Jahanam.

Ustaz kata, “Hai banyak beno benda kita ngantor ke neraka.” Hahahaha

Jika ikut Kamus Dewan perkataan ini berasal daripada bahasa Arab. Ada 3 makna:
1. Neraka
2. Orang yang jahat lagi terkutuk
3. Rosak

Jika ikut Kamus Oxford Bahasa Arab – Bahasa Melayu, hanya neraka jahanam : An Narr

Walaupun Kamus Dewan mengiktiraf ketiga-tiga perkataan ini, marilah kita belajar bahasa Arab untuk meletakkan bahasanya di tempat yang betul. Jom!


Thursday, February 9, 2017

Lengat Pisang

Kosa kata bahasa Kuala Kangsar

Lengat – loyang
Langat – eh itu di Selangor. Hulu Langat.
Langgat – susun secara berlapis. Contoh: Bila jiran selalu bagi kuih masa buka puasa tapi ko tak ada masa nak balas. Sudahnya piring dia banyak kat rumah kita. Oleh kerana malu alah piring dia berlambak di rumah kita dan bimbang nanti dia tak hantar kuih lagi, kita pun susun secara bertindih piring yang banyak tu dan piring yang atas kita taruh karipap 5 biji. Perbuatan tindih piring tu adalah langgat. Hehe. Langgat-langgatkan. Ejaan tidak pasti macam mana tapi bunyinya gitu la.

Resipi lengat pisang ini semudah namanya. Pejam mata pun boleh siap.

Amboi eksennya, terkerat jari kena pisau baru tau. Bahan-bahannya, pisang, santan, gula, garam dan tepung beras.

Resipi ni biasa dibuat apabila pisang sesikat tak sempat habis makan dan akhirnya hampir lebam tanda nak expired. Takkan nak tukar jadi cekodok je, banyak lagi resipi lain.


Panaskan kukusan. Biar dia menggelegak. Belah  dua pisang ni dan disusun sepenuh-penuh loyang. Tabur gula rata-rata. Ala-ala merenjis je, jangan banyak sangat. Dalam pinggan yang lain, tuang santan ikut suka banyak mana. Taruh tepung beras dalam dua sudu besar. Kacau hingga sebati. Taruh garam bagi rasa lemak-lemak masin. 

Susun pisang ikut kreativiti. Bancuhan santan tu jangan dimasuk awal. Bila kukus dah mendidih baru kita masukkan.

Bila air kukusan dah mendidih, bolehlah taruh bancuhan santan itu dalam loyang tadi. Biar pisang tu tenggelam. 1, 2, kukus.
Pisang tengah berendam, jangan tengok lama-lama. Malu.

Sekejap je kukus. Sampai santan tu dah nampak beku/pekat. Tutup api dan biar sejuk. Lepas tu boleh masuk peti ais sebab lebih sedap dimakan sejuk.
Jangan masak lama. Bila nampak santan ni pekat je tutup api sebab nanti pisang tu pula lembik.
 Orang dulu-dulu biasa recycle makanan yang tak habis. Daging masak berkicap (kuah) boleh bertukar menjadi daging goreng masak kicap atau murtabak. Roti nak expired tukar jadi puding roti. Nasi tak habis boleh jadi nasi goreng atau tapai yang akan dijadikan apam. Kalau semua orang pratikkan sebegitu pasti tiada lagi lebihan sisa makanan yang akan dibuang di tong-tong sampah.

Tuesday, February 7, 2017

Jom naik MRT!

Sempat juga naik MRT masa promosi percuma. Jadi kiranya ini berita terlewat dan bukan berita terkini ya.

Beza Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), LRT ada pemandu dan MRT tren tanpa pemandu dan ia dikawal oleh pusat kawalan operasi.

Laluan Sg. Buloh – Kajang tetapi untuk fasa pertama ni hanya Sg. Buloh – Semantan. Oleh kerana free, apalagi jalan-jalan je dari stesen mula hingga akhir. Tak turun ke setiap stesen pun. Oleh itu tak dapatlah nak cerita tentang stesen-stesen tersebut, hanya akan cerita apa yang nampak dari dalam tren.


Letak kereta di stesen Sg. Buloh. Ada parkir bertingkat di situ. Sesiapa yang biasa naik komuter di stesen Sg. Buloh, MRTnya kat situ lah juga. Cantik. Tapi kita tak akan terus sampai ke tren, kena naik eskalator dua kali.  Ni kalau ramai-ramai nanti, idaklah sesak je dekat tren tu, kan. Warga emas dan OKU boleh naik lif.

Tak ramai pun yang naik masa tu. Mungkin sebab ramai yang dah naik ketika awal pembukaan. 

Eskalator yang pertama

Lif

Stesen Sg. Buloh
\
Laluan MRT dari Sungai Buloh - Kajang

Kalau rasa sesat, boleh tengok map ni.

Hentian Kg. Selamat. Kalau ikut laluan kereta, tren ini akan melalui jalan lama Sg. Buloh-Subang. Ini merupakan laluan saya bila nak mengelak tol Sg. Penchala dari PJ ke Damansara Damai. Selama ini tak tahulah pula ada nama Kg. Selamat ni, cuma tahu di sini ada PERHEBAT- Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera. Ditubuhkan untuk angkatan tentera yang dah pencen untuk mengikuti kursus atau kemahiran supaya mereka mendapat pekerjaan selepas bersara tentera.

Ton warna kerusi. Sekadar warna atau ada makna lain. Tidak pasti.

Hentian Kwasa Damansara. Bila dengar pengumuman, “Ha? Kuasa?” Tengok di skrin, ejaannya Kwasa. Eh eh apa pulak bahasanya tu. English ke BM? Siap Google nak tahu makna Kwasa. Sekali yang keluar, Kwasa Land – pemaju perumahan. Ooooh. Mungkin kwasa itu dari kuasa/power. Agaknya.

Papan skrin digital menunjukkan pergerakan tren. Ada lampu lip lap untuk tunjuk stesen.

Hentian Kwasa Sentral. Kawasan-kawasan ini akan dibangunkan sebagai bandar baru. Bila ditinjau dari tren, masih nampak hijau pemandangan. Dulu kawasan-kawasan ni hutan semua. Oleh kerana saya tak turun tren jadi saya tak pasti kawasan ini di mana tapi kalau area Kg Selamat ke Kota Damansara ni memang banyak kedai bunga (nursery). Berderet-deret. Bila dah pergi satu kedai, jalan depan lagi ada lagi. Ada lagi dan ada lagi. Hehe.. tapi saya jarang-jarang sekali pergi yang area ni sebab mahal dan kebanyakannya pokok landskap. Saya biasa pergi yang dekat Hospital Sungai Buloh. Lebih murah dan banyak pokok bunga. Sebenarnya dulu-dulu lagi banyak kedainya (sekitar 2000-2010), heaven tapi sejak jalan tu dah jadi laluan ke highway banyak nursery yang pindah atau tutup. Sekarang sudah tak meriah.

Saya nampak parkir yang luas, tapi tak ingat Kwasa Damansara atau Kwasa Sentral.

Hentian Kota Damansara. Nampak Tropicana Hospital dan Segi Kolej. Senang kot kalau nak pergi hospital. Biasa hospital kan leceh nak mencari parkir bila pergi melawat.

Hentian Surian. Ha di sini saya pernah pusing-pusing mencari Perodua Servis yang baru dibuka sampai sesat larat. Masa tu tak banyak kedai lagi. 

Hentian Mutiara Damansara. Di sini letaknya IKEA Damansara, The Curve, Tesco, IPC Shopping Centre. Ni kena pergi naik kereta baru best, park sahaja di mana-mana pasar raya, lepas tu boleh pergi shopping di mana-mana sahaja sebab kedudukan pasar rayanya berdekatan malah boleh lintas ikut jalan bawah je. Tapi kalau orang yang jauh dari Damansara, baik la naik MRT ya, sebab kawasan ini adalah kawasan yang jam dari semua arah lebih-lebih lagi hari minggu.

Boleh nampak IKEA punya papan tanda.

Hentian Bandar Utama. Boleh pergi One Utama Shopping Centre (1U) tapi nampaknya tren berhenti dekat Sri Pentas. Ni siapa nak pi TV3, TV9, 8tv, TV7 boleh.

Besi ni mungkin untuk menahan daripada bunyi yang kuat sebab di TTDI tu ada rumah orang.  Kalaulah semuanya ditutup dengan ini, hilanglah keindahan nak tengok pemandangan. Nasib baik ia diselang-selikan.

Hentian Taman Tun Dr Ismail. Tempat yang saya biasa pergi di sini, Maxis Centre (belakang pasar TTDI). Tapi MRT ni berhenti jauhla juga, depan lagi dari pasar TTDI ada bangunan di situ. Mungkin ada feeder bus yang akan pusing area sini kot. Di TTDI ni kalau nak park kereta punyalah susah. Seawal 8 pagi, kedai belum buka lagi pun dah penuh parkir yang tepi-tepi kedai. Berkali-kali pusing. Akhirnya park di tempat letak kereta berbayar sebelah pasar. Senang park. Lepastu bila balik pukul 9 pagi tu, mak ai rupanya tak muat juga tempat tu sampai ada yang double park. Satu hal pula kita nak telefon orang yang halang kereta kita. Bila ditanya orang situ, memang perkara biasa, kadang derang tinggal je kunci kereta so orang tempat parkir tu yang akan alihkan. Mungkin dengan adanya MRT ini akan memudahkan orang nak datang sini.

Hentian Phileo Damansara. Banyak pejabat di sini dan Eastin Hotel. Dulu-dulu pernah pergi Phileo ni mencari pejabat majalah Galaxie, ambil hadiah. Eastin Hotel pun pernah pergi sebab dapat hadiah berbuka puasa dengan majalah Intrend. Untung juga menang, dapat pergi tempat-tempat baru. Kalau tak, tak merasa.

Hentian Pusat Bandar Damansara. Rasanya pernah renew pasport di sini. Hihi, main rasa-rasa je lah, udah tak turun tengok, kan.

Hentian Semantan. Lepas bangunan HP,KL. Pernah pusing-pusing area sini dari Jalan Pantai/Kerinchi/Bangsar ikut jalan dalam sebab nak ambil hadiah. Gila peraduan masa tu so memang merata juga pergi. Sebelum adanya waze atau google map, bila nak pergi sesuatu tempat tu akan call dulu tanya di mana. Kalau tak jumpa juga, just call berkali-kali lagi dan dia akan cakap lebih jelas. Macam mesra je. Tapi sekarang ni, bila nak tanya jalan, ramai yang akan jawab, gunalah waze atau google map je. Tanya sikit pun suruh search di google. Kejam betul. Ayat mati di situ. Tak ada cubaan untuk menolong. Haha. Kadang sendiri pun berperangai begitu. Maaf. 

Nasib baik sampai Semantan je, kalau tak panjang lagi cerita saya. Masa untuk pulang semula ke stesen Sg. Buloh. Tukar arah. Sempat melawat di stesen ni. Ada surau sebelah tandas. Lelaki dan perempuan terpisah jauh la juga tandas dan suraunya.

Tanda untuk tandas dan surau lelaki. Perempuan di arah yang bertentangan.

Tong sampah lutsinar. Harapnya akan kekal cantik terjaga tong sampah ni.

Guna kipas besar untuk sistem pengudaraan. Tak perlu aircond

Kekerapan tren sekitar 7-8 minit

Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA)
Masa di stesen Sg. Buloh ada nampak kedai ‘Noras delight’ hurmm macam kenal je. Eh takkanlah. Bila balik tu, terus nampak terpampang tulisan ‘from Kuala Kangsar the Royal Town of Perak’ lor patut macam kenal, orang kampung. Kedainya di Talang, KK. Ramai yang suka dengan Carrot Cheesecakenya tapi saya pun belum pernah makan. Habis pula masa tu jadi beli roti je. Nanti kita beli di Kuale sahaja.
Penggunaan nama KK tu memberi nilai tambah untuk orang Kuale dan sekitarnya singgah..hehe

Inilah rupa kedai yang  terletak di Talang.

Kalau dari highway PLUS, kena jumpa pintu gerbang ni dulu, kedainya di sebelah kanan