Sunday, January 21, 2018

Termakbulkah doaku di Raudhah? – Umrah 30 Nov – 10 Dis 2017 (Bahagian 6)

Sementara menunggu waktu isyak, kelihatan di skrin tv ditulis tentang masuk Raudhah. Hanya boleh duduk di Raudhah maksimum 5 minit.

Apa yang perlu kita lakukan sesudah masuk ke Raudhah? Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak eloklah solat sunat dua rakaat.

Untuk masuk ke Raudhah, biasanya lelaki tiada had masa dan berbeza dengan perempuan. Disampaikan dari mulut ke mulut, waktunya pukul 8-9 pagi, 1-3 petang dan lepas isyak sampai 11 malam. Kami mencuba sebanyak 3 kali tapi belum berjaya.

Usai solat isyak, kami mencari tempat laluan walaupun memang kami sudah menunggu di ruangan pintu nombor 25 yang merupakan pintu untuk masuk ke Raudah. Ketika itulah nampak petugas masjid mula menutup pintu kayu yang besar itu. Lor patutlah masa zohor tadi kami tak dapat. Dah duduk saf yang awal juga tapi kami keluar pergi toilet. Bila nak masuk balik, tersangkut di pintu yang sudah ditutup.

Terperangkap dengan kata-kata orang  yang mengatakan 8-9 pagi, 1-3 petang dan isyak sampai 11 malam. Sebenarnya di kanvas putih yang tergantung di pintu kayu tu ditulis masuk Raudhah lepas syuruk, zohor dan isyak. Tak ada pun waktu yang ditetapkan. Bermakna ikutlah waktu solat tu, ada ketika, kan cepat, lepastu lewat sikit. Walaupun tulis dalam bahasa Arab tetapi fahamlah sedikit-sedikit.  Orang yang bercakap waktu-waktu tertentu  tu sebab dia yang masuk ikut time tu haha.

Sebenarnya kalau dah lepas solat subuh, zohor atau isyak tu, jangan keluar hatta nak pergi tandas pun sebab ia akan tutup pintu. Di dalam masjid itu ada sekatan-sekatan berbentuk pintu.  Dan ketika itulah jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan berbahasa Melayu, kumpulan Turki, kumpulan Pakistan dan India.  Ada papan tanda yang dibawa oleh petugas masjid. Petugas masjid akan memberi arahan supaya jemaah masuk ke kategori masing-masing. Kali ni barulah ada keyakinan dapat masuk. 

Mengikut sign yang disediakan, Kumpulan Berbahasa Melayu  biasanya Indonesia, Malaysia dan Singapura.  Terdiri di kalangan penduduk Asia Tenggara yang mempunyai saiz badan yang kecil. Kalau dicampur dengan yang lain mahu ‘terpenyet’. Namun,  walaupun sudah dibuat pembahagian begitu, masih ada yang tak faham dan menyelit dalam kumpulan Asia Tenggara ini juga.

Kumpulan negara lain akan bergerak dahulu. Oleh itu kita perlu menunggu. Dalam waktu menunggu tu eloklah baca quran dan berzikir  dulu bagi memanfaatkan masa. Apabila petugas masjid angkat sign dan jalan, semua orang pun ikut. Berhenti di hentian pertama. “Ibu, duduk! Duduk!” Menunggu sekitar 5 -10 minit. Di hadapan kelihatan kumpulan jemaah dari negara lain yang turut menunggu. Semuanya dilepaskan secara berperingkat. Apabila diasingkan begitu, nampaknya lancar. Tidak perlu risau dihimpit orang daripada negara lain yang berbadan besar.

Bila nampak sign tu diangkat dan bergerak, yang lain pantas mengikut. Berhenti lagi.  Kita tahu pintu masuk semakin dekat apabila melalui kawasan bumbung terbuka dan nampak kubah hijau yang menandakan makam Rasulullah SAW dibawahnya.

Ketika di kawasan bumbung terbuka ni, sebelah kiri jemaah Turki dan sebelah kanan ruang ditutup dengan kain kanvas putih. Bermakna Kumpulan Berbahasa Melayu berada di tepi sekali.  Kelihatan petugas masjid memarahi jemaah negara lain suruh duduk.  Udah berbuih mulut dema berteriak ikut bahasa sendiri, sedikit pun tak dengar arahan. Masih berdiri. Kami pun saling memuji diri bangsa sendiri. “Kita yang dari Asia Tenggara ni sahaja yang dengar cakap, kan?” Sambil orang-orang di tepi angguk, angguk. Setuju. Haha. Keliling saya orang Indonesia.

Tiba masa sign Kumpulan Berbahasa Melayu diangkat dan nak berjalan semula.  Semua berdiri. Keadaan jadi kelam-kabut, orang Turki di sebelah dah masuk ke kumpulan kami, sedangkan giliran mereka belum disuruh berjalan lagi. Sebelah kanan yang patutnya kain kanvas tu boleh ada pula jemaah Pakistan atau India yang datang dari celah mana. Petugas masjid suruh duduk, tapi memang tak boleh langsung, tiada ruang hendak mengundur pun. Akhirnya semua pun berdiri. Perempuan depan saya orang Malaysia. Agresif juga. “Melayu! Melayu!” Marahkan orang bangsa lain. Mata pun jegil-jegil lagi. Saya pun bisik kat kawan, “Kita ikut dia ni.” Hehe.

Masa untuk berjalan lagi, Ya Allah memang bertolak-tolak, suara petugas masjid yang menghalang suruh  jangan tolak-tolak  tak dengar dah,  dengar suara tangisan budak tersepit antara orang ramai menangis memanggil ibunya berhampiran saya. Kalau terjatuh time ni memang habislah terpijak. Sampai di tiang/dinding, ada orang ajak saya rapat ke dinding. Mengelak jemaah bangsa lain yang berangkai-rangkai merempuh. 

Saya memandang ke atas, kelihatan  tergantung kanvas ditulis dalam bahasa Melayu, jangan menyakiti diri sendiri dan orang lain dengan bertolak-tolak. Saya teruskan perjalanan mengikut arus, terdengar perempuan yang agresif tadi tunjuk arah kiri pada jemaah yang dibawa, itu makam Rasulullah, “Assalammualaika Ya, Rasulullah!” makam Abu Bakar dan makam Umar. 

Lelaki boleh masuk bila-bila masa. Masih ada ruang-ruang untuk bergerak. Kalau perempuan, memang tiada langsung ruang. Padat dan sesak. Kredit: Adam Ahmad Saifuddin

Kredit: Adam Ahmad Saifuddin. Boleh cari di Youtube, 3D Raudah untuk melihat keseluruhan kawasan.

Tak sedar dah sampai.  Pandang bawah, permaidani hijau. Tanda untuk mengenali Raudhah mempunyai permaidani berwarna hijau sedangkan permaidani masjid di bahagian lain berwarna merah.  Kawan suruh solat sambil dia ‘mengepung’ supaya orang lain tidak bertolak-tolakan. Kami berganti.

Akhirnya menuju keluar jalan yang berbeza daripada jalan masuk tadi. Dalam hati perasaan bercampur baur, kita menziarahi makam Rasulullah, tetapi keadaan kita yang bertolak-tolak dan mengepung tadi mungkin juga menyakiti orang lain. Tidak mengikut sunnah juga tu.

Daripada Abdullah bin Amr- radiyalLahu anhuma, daripada Nabi SAW, sabdanya, “Seorang Muslim yang paling utama itu ialah rasa selamat Muslim yang lain daripada angkara lidah dan tangannya. Muhajir itu pula ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang Allah tegahi.”
                                                                                            Sahih al-Bukhariy


Entahlah, hanya Allah sahaja yang tahu ganjarannya. Semoga dalam kita mengejar pahala, tidak pula bertambah dosanya.


No comments: