Saturday, March 31, 2018

Mui Ne, Vietnam (3-7 Mac 2018)


Masa Google tentang  tempat ni, saya dapat tahu ada dua trip yang kita boleh ikut. Satu matahari terbit dan satu matahari terbenam. 

Ikut itinerary kita akan dibawa melawat ke 4 tempat ni:

1.White sand dune
2.Red sand dune
3.Fairy stream
4.Fishing Village

Kalau trip sunrise pukul 4.30 pagi dah kena gerak. Namanya pun tengok matahari terbit, dah tentu-tentunya solat subuh di kawasan ni. Jadi sebelum pergi dah siap-siap ambil wuduk serta bawa sejadah dan telekung. 

Pukul 4.30 pagi driver dah tiba dengan jeep. Kat sini semua driver tepat pada waktunya. Bagus. Tiada janji Melayu hehe. Dari hotel ke White Sandune dekat  40 minit. Walaupun subuh sepie (awal pagi) still nampak jeep melalui kawasan pantai. Mesti cantik ni kalau dah siang. 

Driver berhenti di satu tempat, dia turun bawah tengok tayarnya. Dia rasa ok baru dia gerak. Bayangkan kalau padang pasir, kita jalan pun susah,kan. Ni jeep naik ke atas, haha terkejut juga. Rasa nak tergelincir dan terkeluar daripada kereta tu. 
Selamat pagi dunia.

Sand Dune-dari Kamus Ing-Melayu DBP maknanya gumuk (term geologi). Ahh sudah, gemuk taulah. Tengok pula Kamus Dewan, Gumuk bermakna bukit kecil. Rujuk Kamus Dwibahasa pulak dune - kata nama yang bermaksud pasir yang ditimbun oleh angin seperti bukit (di tepi pantai); bukit pasir

Tempat pertama white sand dune. Driver tunjuk kawasan tengok matahari terbit. Memang apa pun tak nampak. Rasa je pasir. Dalam gelap-gelap tu adalah nampak orang tengah mendaki. Ohh beruntung la kami sebab jeep terus bawa ke atas. Kalau tak silap masa Google tu pun memang ada yang kata kena sewa jeep kalau tidak jalan kakilah ke atas.

Subuh pun dah masuk, tengok kompas cari arah kiblat. Bentang sejadah kat tengah-tengah padang pasir tu. Cari ruang terselindung sikit tepi jeep. Sila pasang torchlight ya tengok keadaan sekeliling.  Depan kami tu turun bukit, silap-silap sujud tergolek terus ke bawah.  Ada yang naik tinggi lagi, siap menjerit, mengilai ketawa antara takut dan suka.

Baru nampak pasir  berwarna putih. Dalam gambar ni orang tengah naik ATV.

Di sini juga boleh sewa ATV tapi sebab kami pun dah naik ke atas dengan jeep. So tak payah susah-susah dah. Include dalam trip.

Makin lama makin ramai yang berhenti di tempat kami tu. Masing-masing posing sakan. Dalam 1 jam di situ, dibawa turun ke kawasan tasik.  Driver tu check bahagian enjin dia pulak. Sibuk la dia dengan kereta, baru je nak suruh ambil gambar kami berempat. Cantik kawasan tu, dengan keadaan pasir yang putih dan tasik.  Indahnya alam ciptaan Tuhan.
Tengah nak intai RON 95 harga berapa. 
Red sand dune. Di sini tempat kita luncur tu. Boleh beli benda nak luncur tu, ada dijual di situ. Penat wo naik sampai sini. Nak melangkah pasir yang 'berat' dan naik bukit pula tu. Tak fit sebenarnya hihi.

Seterusnya Red sand dune. Di sini pasirnya berwarna kemerah-merahan bila nampak dari jauh dan dicampur dengan silau matahari. Kita boleh meluncur pasir. Merata orang yang jual tempat luncur tu tapi nak turun luncur tu taklah tinggi mana pun.  Kawasan tu macam bulan sabit. Menarik.
Ni orang yang jual tu. 
Perjalanan diteruskan ke kampung nelayan. Kelihatan sampan bulat yang berwarna-warni. Masa tengok rancangan Amazing Race dulu-dulu ni memang dah tahu trademark sampan Vietnam ni. Macam besen je. Masa yang diberi untuk tengok-tengok 20 minit. Di tepi-tepi jalan nampak restoran –restoran yang semestinya hidangan special makanan laut. Pemandangan lebih kurang macam perkampungan nelayan di tempat kita cuma cantik tengok sampan tu dari kejauhan
.
Sampan bulat berwarna-warni. Trademark. 
Sepanjang jalan di perkampungan nelayan ni banyak kedai-kedai.
Destinasi akhir, Fairy Stream.  Driver tu perkenalkan kawan dia, katanya balik nanti ikut kawannya, tukar jeep. Kami diberi masa 40 min. Oooh jeep tu rosak agaknya, tu pasal setiap kali perjalanan pun dia asyik dok tengok enjinlah, tayarlah.
Laluan kecil menuju ke Fairy Stream. Sepanjang berada di sana, tengok drivernya biasanya cool je walaupun nampak derang hon je sepanjang jalan. Tapi memang style gitu la gamaknya. Sentiasa timbang rasa dengan motor-motor yang banyak di situ. Kalau selisih di jalan yang kecil pun masing-masing bagi jalan je takdelah mengomel-ngomel marah. Ini hanyalah pandangan peribadi duduk sebelah pemandu 4 hari hehe.

Kita akan menyusuri anak sungai yang kecil. Tinggalkan kasut di kedai yang tempat kita turun tu. Kita akan patah balik di tempat yang sama nanti. Di sini kita akan melihat fenomena alam batu-batuan. Di sepanjang jalan boleh tangkap gambar yang cantik-cantik walaupun sebenarnya sama je.


Tak tahulah pengakhirannya di mana cuma kami dah agak-agak nak 40 minit kami patah balik. Panas mentari mula dirasai. Orang pun bertambah ramai. 

Sejukkan kaki.

Kitaorang saja pakai tema warna merah, saja nak bagi 'naik' dalam gambar. Siap buat rujukan dan undian tu warna apa sesuai. Haha.

Tak tahu penghujungnya tapi ramai juga yang masih meneruskan perjalanan.
40 minit hampir tamat, baiklah balik semula ke tempat yang jeep tadi tu tunggu. Biasanya jumpa orang yang sama je dengan tempat sebelum ni sebab memang itu tripnya. 
Balik naik jeep yang lain dan driver yang lain. 9.30 pagi tour tamat dan balik ke hotel semula. Bahasa Vietnam ni walaupun ejaannya rumi, tapi bila sebut ikut ejaan tu bunyinya lain sebenarnya. Dah beberapa kali membuat cubaan sebut ikut ejaan tu tapi orang sana tak faham haha.  Akhirnya bila driver tu tanya nama hotel, tunjukkan kat dia nama hotel yang ada di telefon.  Sampai lewat malam semalam, keluar pula sebelum subuh kiranya sampai bersama bulan balik bersama bulan, idaklah kami cam persekitaran hotel tu. Cuma pernah google dari Malaysia je, itu pun setelah mengikut amanat kedutaan untuk kenal pasti persekitaran.

Kereta yang akan ambil kami untuk ke Da Lat datang pukul 12 tengah hari. Kiranya ada masa nak jalan-jalan tengok keadaan sekitar hotel . Dah nampak macam ada pantai seberang hotel kami. Memandangkan sarapan pun belum lagi. Balik hotel makan bekalan roti sardin dan sambal tumis ikan bilis. Memang tak keluar baliklah. Kemas-kemas beg untuk destinasi seterusnya, Da Lat.


Friday, March 30, 2018

HCM - Mui Ne, Vietnam (3-7 Mac 2018)

Penerbangan Malindo jam 2.25 petang. Dijangka sampai pukul 3.25 petang waktu Vietnam (2 jam perjalanan). Masuk ikut time, tapi bila dah 2.25 flight tak gerak-gerak lagi. Mula-mula cuaca buruk (hujan masa tu)  bila dah agak reda, masalah teknikal yang lain pula. Pukul 3.30 baru gerak.

Sedap piza tu, panas panas.

First time naik Malindo,  dapat snack, piza sepotong dan cup cake red velvet dan air. Oklah buat alas perut. Makan tengah hari dan makan malam kami dah suruh Ms Khanh tolong belikan. Entertainment system tak ada masa tu. Patutnya boleh tengok tv. Flight balik ada, tengok Rock Ooo tapi tak sempat habis.

Selamat mendarat di Lapangan Terbang Tan Son Nhat jam 4.30 petang. Urusan imigresen lancar, tak perlu tulis arrivalcard dan terus berbaris. Setelah ambil beg, mencari-cari driver yang ditugaskan mengambil kami.  Ramai juga tu nama-nama orang lain yang ‘diangkat’ di udara.

Pejabat VN Lotus Travel
Akhirnya kami dibawa ke pejabat VN LotusTravel. Kat sini apa pun boleh, apa pun ada. Beli sim card RM20 kat situ. Makanan tengah hari dan dinner yang kami minta belikan pun dia dah siap. Kitaorang makan kat pejabat tu lagi. Haha. Memang memahami.   Pekerja tu beri senarai resit dan nama hotel untuk kita beri nanti masa tiba di satu-satu destinasi tu.

Kalau ramai-ramai, pilihan lain yang ada, boleh juga sewa wifi. Boleh tengok-tengok di sini.
Order menu dari Ms Khanh guna WA je. Dia bagi menu. Nasi beryani ni kongsi berdua pun cukup dah. Banyak. 
Ikut jadual asal kami akan menaiki sleeping bus untuk ke Mui Ne pukul 5 petang. Dah flight lambat sampai, tukar bas malam. Dia suruh tunggu di pejabat tu je, nanti orang datang ambil.  Kitaraong makan lunch pukul 6 jadinya sementara nak tunggu bas malam tu. Untuk dinner kami plan makan dalam bas.

Pukul 7 ada seorang perempuan ni datang suruh ikut dia. Menonong je dia laju, kami pun ikut belakang. Cari-cari mana dia park kereta tapi dia makin laju. Kita ni dahlah dengan nak tarik beg lagi,kan. Tiba-tiba dia seberang jalan. Trafik kat Vietnam ni udah la pening nak seberangnya. Takut je dengan motor yang banyak tu. Nak panggil dia suruh perlahan, dia makin laju. Akhirnya sampai di satu bangunan kira-kira dua blok dari pejabat VN Lotus Travel tadi.

Ingatkan masa orang tu cakap ada orang  akan  ambil, dia datanglah dengan kereta rupanya dia datang menjemput dengan berjalan kaki. Hahaha. Baru je nak feeling-feeling gaya bos ada drebar.
Rupanya kat situlah hentian sleeping bus ni. 7.30 malam bas datang. Masa nak naik pemandu tu beri beg plastik untuk letak kasut. Kiranya kena berkaki ayam dalam bas.  Kita beri sahaja nama hotel pada konduktor bas, nanti dia akan umumkan bila bas berhenti depan hotel.
Tingkat atas.

Tingkat bawah. Ada tangga di tepi.

Perjalanan lebih kurang 4- 5 jam. Memang boleh baring dalam ni.  Katilnya  boleh kita laraskan sama ada nak menyandar atau baring. Memang selesalah naik. Kaki tersorok seakan ruang bawah meja. Katil dua tingkat. Orang atas kena naik tangga. Ada wifi juga dalam ni tapi dah sendiri beli sim kad, tak adalah guna wifi. Ada dibekalkan selimut juga. Masa naik tu tak ramai penumpangnya dalam 10-12 orang.  Kalau kita ada bas macam ni nak pergi ke Kelantan dan Terengganu best juga, kan.

Kaki masuk bawah meja tu. Ruangnya luas.
Travel malam, tak berapa nak nampak pemandangan sepanjang laluan tapi saya sendiri menahan diri daripada tidur sebab nak menikmati perjalanan. Ditemani lampu-lampu jalan dapatlah juga tengok keadaan sekeliling. Bas melalui lebuh raya bertol dan kampung-kampung. Jalannya lurus je. Memang banyak  lori-lori besar jalan malam-malam ni juga.

Setelah satu jam lebih perjalanan bas berhenti 15 minit di Le Hoang.  Masa ni bolehlah nak pergi toilet ke apa ke. Ada kedai juga kat sini tapi kami tak turun. Nampak macam ada kedai buah tengok dari dalam bas.

Menariknya melalui satu kampung ni, banyak tanaman buah naga (dragon fruit). Dan di setiap pokok tu dipasang lampu. Cantik pulak hehe. Memang teranglah kat situ. Bukan satu tempat tu je, jalan-jalan seterusnya pun ada. Bila rasa-rasa dah dekat nak sampai, saya google map nama hotel. Risau la pulak kalau orang tu terlupa kan kami. Aha… jangan risau, memang dia tak lupa punya. Hotel tu betul-betul tepi jalan dan bas tu berhenti. Konduktor tu umum nama hotel dan tengok pada kitaorang. Pukul 11 lebih masa tu. Fuh dinner pun tak makan lagi. Nak makan dalam bas tadi masih rasa kenyang.  Dah sampai baru mula rasa lapar. Masuk bilik dah pukul 12. Nak mandi, solat lagi. Alamak esok pukul 4.30 pagi dah kena tunggu di lobi. Pukul 2 pagi baru tidur. Memang sekejap je tidur. Hotel yang ditempah oleh travel agency ok. Selesa. Dalam 3 bintang kut. Cuma air masak kena minta cerek daripada dia.


Thursday, March 29, 2018

Tip Keselamatan – Vietnam (3-7 Mac 2018)


Maklumkan kepada Kedutaan.

Kalau ikut pakej biasanya tak ambil peduli pun pasal ni tapi pernah buat masa pergi Jepun. Kat sana, kan ada gempa bumi tapi kat Vietnam ni tak rasa pun nak maklumkan pada mulanya. Setelah didesak oleh kawan yang pentingkan keselamatan dan memikirkan sekarang ni macam-macam pula kes warganegara kita pergi ke luar negara  (sakit, meninggal dunia) akhirnya buat juga.  Tak susah manapun sebenarnya.

Just google kedutaan Malaysia dan e-mel kepada mereka. Maklumkan tarikh kita nak pergi, dan nombor telefon keluarga yang boleh dihubungi (in case ada apa-apa masalah). Kedutaan Malaysia ada di Hanoi dan Ho Chi Minh. Oleh kerana kita pergi area Ho Chi Minh e-mel  ke situ.

Balasan daripada pihak kedutaan berserta amanat. Saya sertakan di sini isi penting sahaja.

1.Pastikan keselamatan diri, dokumen perjalanan dan harta benda.

2.Selidik tentang hotel penginapan dan kawasan yang akan dilawati. Ini akan membantu meningkatkan kesedaran tentang risiko keselamatan yang mungkin ada. Dapatkan nasihat daripada ejen pelancongan, pemandu pelancong atau pihak hotel.

3.Pastikan ada insurans yang sewajarnya.

4.Pastikan pasport dan dokumen perjalanan disimpan dengan selamat. (Pihak kedutaan juga telah terangkan langkah-langkah yang perlu diambil jika hilang)

5.Sekiranya berlaku kecemasan, sila ambil maklum berkenaan bentuk bantuan yang boleh dipanjangkan oleh Konsulat Jeneral dan bantuan yang disediakan.



Monday, March 26, 2018

Tip Pakatan – Vietnam (3-7 Mac 2018)


Sepakat Membawa Berkat.

Kalau orang berduit, cakap je nak pergi travel bulan depan, boleh terus book semua dan bayar je. Kitaorang tak de la begitu. Kena bajet dulu. Bulan 4, 2017 lagi dah plan. Mula-mula nak kumpul duit time tu juga  tapi memandangkan beberapa bulan lagi nak puasa dan semestinya Raya nak pakai duit lagi, jadi matlamat menabung bersama ni dianjakkan lepas Raya. Kami panggil main kutu tapi bukan macam kutu biasa yang setiap orang ada giliran dapat duit.  Setiap bulan transfer RM50 pada Bendahari. Bila dah dekat tarikh yang nak pergi tu, tengok duit macam tak mencukupi, kitaorang naikkan pada RM100 setiap bulan. Duit untuk bayar tiket flight, hotel dan trip.

Rekodkan setiap duit yang diterima

Tailor-made travel, kami dah lengkap buat itinerary, tempat mana nak pergi dan dah susun semua. Google je tempat-tempat menarik dan kenalah rajin sedikit membaca.  Plan awal jalan sendiri tapi kawan rajin pula nak contact orang sana. Dia pun e-mel kepada 2 tour agensi ni. Tapi hanya satu agensi sahaja reply dengan cepat. Terus beri itinerary dan minta quotation. Bila tengok  harga masih sekitar bajet, kami terus ambil dia sebab tak payah susah-susah nak fikir. Dah ada orang lain uruskan. Harga tour tak tetap, ia bergantung kepada perbincangan dua-dua pihak. Kalau ambil tour guide harga lain. Pilih private car  harga lain dan semuanya adalah kiraannya, kalau tempat tu jauh pun harganya lain.

Saya boleh rekemenkan agensi ni. Bertanggungjawab. Pandai-pandailah korang nego. Boleh e-mel,  WA atau contact di FB:

VN Lotus Travel Co. Ltd (Mrs Khanh +84 9059 58514)
210 A De Tham Street, Pham Ngu Lao Ward, District 1, Ho Chi Minh +84 839209853

Dari awal dah bajet RM1500 (tak termasuk duit shopping) jadi, apa-apa pilihan hotel dan tiket flight mestilah jangan melebihi bajet akhirnya. Kalau pilih lebih hari, bermaksud kos hotel dan makan pun akan bertambah. Kalau pilih masa yang singkat pula maksudnya nanti akan terkejar-kejar berjalan dan tak best. Jadi rancang masa perjalanan ikut perbincangan kumpulan.

Bendahari baru lepas pergi kursus akaun, terlebih rajin mengaplikasikannya

Satu lagi simpanan dipanggil duit tabung. Bendahari juga yang menyimpan dan dia dipertanggungjawab untuk urusan bayaran. Yang ni untuk makan minum masa di sana, tiket masuk, tambang teksi dan lain-lain. Bagi duit tabung semuanya mesti sepakat, masing-masing boleh pilih makanan yang disukai. Tiada rasa dengki, orang tu makan sikit tapi kena bayar lebih atau sebaliknya.  
Macam mana nak bajet untuk duit tabung ni?

1.Tengok berapa hari kita pergi dulu.

2. Kena fikir berapa kali breakfast, lunch dan dinner. Saya google untuk tahu harga makanan halal di HCM. Makanan halal biasanya mahal.

Setelah dibuat anggaran, seorang RM200 untuk duit tabung. Baki akan dipulangkan masa hari akhir. Duit yang dikumpul ini akan ditukar kepada VND untuk perbelanjaan semasa di sana. So total RM800 untuk dibelanjakan bagi kegunaan bersama.

Bagi sesiapa yang nak buat bajet saya senaraikan harga barangan di sana.

a)Air mineral 1 botol VND 5000

b)Makan tengah hari 4 orang, kalau mi atau nasi goreng sekitar  VND 250,000. Jika ambil lauk (4-5 hidangan) dan nasi putih dengan air sekitar VND 660,000. Tak ingat punya banyak, haha setiap orang pilih lauk tapi sama-sama makan.

c)Breakfast roti canai atau nasi lemak dan air antara VND 170,000 – 200,000 untuk 4 orang.

d)Tiket masuk VND 15,000 – 20,000

e)Toilet VND 2000

f)Kopi ais kalau di tepi jalan area Malaysia Street (kata dek orang)VND  15,000 tapi kalau dalam kedai 20,000

g)Air kelapa di tepi jalan VND 20,000

h)Sewa kereta dari hotel ke airport VND170,000

Oleh kerana  banyak kali delay  flight, bas dan kereta jadi ada yang skip makan dan hanya makan ringan-ringan je macam roti dan maggi.  Bawa Brahims 2 kotak seorang, akhirnya malas nak masak sebab dah sampai lambat di hotel jadi beli makan je haha. Sudahnya bawa balik Malaysia semula. Kami juga bawa bekal roti, sambal sardin dan sambal tumis ikan bilis masak sendiri sebab dah tau di Mui Ne susah cari makanan halal.

Hari akhir, duit tabung ada balance 1 juta lebih lagi dan bahagi seorang 200 000 dan yang balance tu kami sepakat untuk dermakan sahaja. Semoga sama-sama mendapat manfaatnya.



Sunday, March 25, 2018

Eksplorasi Vietnam (3 – 7 Mac 2018)


Idea tercetus bulan  April 2017. Birthday kawan, ngajak ke Vietnam sebab dia tak pernah pergi. Group Whatsapp rakan sebilik dan jiran. Group kami 4 orang je hehe. Kami bertiga ni dah pernah pergi Ho Chi Minh, malaslah nak pergi lagi tapi kalau orang lain bayarkan boleh je pergi beberapa kali pun.

Saya pernah berjalan dengan seorang ni pergi Melbourne, yang sorang lagi sama-sama pergi Bangkok. Cuma dengan seorang ni tak pernah lagi dan kami  tak pernah travel jauh  bersama-sama satu group. Akhirnya keputusan yang diambil, bolehlah temankan kawan ni pergi bershopping. Tapi kami tak nak pergi semata-mata ke Ho Chi Minh (HCM) jadinya merantau jauh sikit.  Aktiviti pertama group ni sejak ditubuhkan haha. Kalau nak kenal sahabat kenalah bermusafir dengannya.

Mula-mula tu masing-masing seronok bincang nak pilih pergi mana. Semua icon pun gumbira je, bila dah dekat-dekat nak pergi tu, mulalah ada yang moody je haha… alah biasalah tu alangkan adik beradik pun bergaduh inikan pula mak bapak lain-lain. Memandangkan kitaorang pun dah kenal lama, kenal family semua, kitaorang tak ambil pot sangat ketidakpuasan hati tu. Toleransi tahap tinggi nih. Di Vietnam semua orang happy. 

Pembahagian tugas mengikut kemahiran masing-masing, yang  seorang biasa ‘merebut’ tarikh flight, hotel dan berhubung dengan orang, seorang lagi bahagian stok bekalan makanan, seorang bahagian mengingatkan keselamatan, seorang jadi bendahari dan kumpul maklumat.

Saya lebih suka  travel secara backpackers, boleh bajet dan bercampur dengan orang tempatan. Semua urusan macam nak cari tiket dan sebagainya spontan, yang kawan seorang ni pula suka teratur sedikit, akhirnya kitaorang pilih travel secara ‘tailor-made’.  Contact tourist guide sana ikut apa yang kitaorang plan. Walaupun ada rasa waswas boleh ke tak percaya orang sana, kami teruskan juga setelah membuat ‘penyiasatan’ melalui google. Hehe. Mau tak risau, kena bayar 50 percent trip dulu. Contact hanya melalui e-mel dan WhatsApp. Kalau kena tipu, sama-samalah menanggung kerugian. Alhamdulillah nasib baik kawan tu kekal dengan keputusan dia contact orang sana, tak payah fikir banyak dah bila sampai sana. Diambil dan dihantar pulang gaya orang kaya.  Merasa la juga, kan. Kikiki. Bajet keseluruhan lebih kurang RM1400 tak termasuk shopping.

Dari HCM kami memilih untuk ke Mui Ne bagi menikmati keindahan alam semula jadi. Kawasan pantai dan juga padang pasir. 
Kalau tengok betul-betul tu ada bayang-bayang orang duk menengok matahari terbit.

Red sandune. 

Fishing Village. Tengok sampan vietnam yang bulat-bulat dan berwarna-warni ni.

Fairy stream

Bertukar suasana pula keesokan harinya untuk merasa cuaca sejuk di Dalat. Dalam blog biasa orang bandingkan Dalat dengan Cameron Highland sebab sejuk. Tapi masa kami di sana tak rasa sejuk (ikut bulan maybe) dan sebenarnya Dalat tu besar. Mungkin boleh dibandingkan macam Kota Kinabalu ke, Penang ke. Ada airport sendiri. Kalau dari HCM naik flight ke sini 50 minit. 

Flower field

Di Thailand ada juga cenggini, memang nak pergi, akhirnya tercapai juga di Vietnam

Bunga Hydrangea ataupun 3 bulan ini memang banyak di Dalat. Di sepanjang perjalanan pun ada.
Dalat Maple Leaf. Boleh tengok pokok maple di sini tapi muda lagi. Hijau warnanya. 

Hari akhir barulah masa untuk shopping.  Kembali ke HCM  dan tidur 2 malam di sana. Saya memang matlamatnya bukan untuk shopping jadi walaupun Malindo bagi 30kg, tak sampai pun banyak tu. Itupun dah jenuh nak menyeret. Beg dah tak balance.  
Ahaha, bestnya lepak-lepak kedai sambil memilih sambil menyembang. Gaya nampak nak plih banyak, kan. Ala kadang ambil satu je. Still harga murah

Yang mana satu idaman hati. Banyak jenama tempatan. Serba salah nak beli sebab ada copyright. Tapi belilah juga sebab ada kualiti juga. Hehe jangan marah. Bukan beli sebab nama.

Flight dua tiga kali delay, kereta berasap, menunggu di tepi jalan, telefon tiada signal, jeep rosak namun itu tidak menghalang kami untuk bergembira. Semua gambar terukir senyuman, tersemat kenangan. Ujian-ujian yang dialami sepanjang perjalanan ‘mengikat’ memori  bersama untuk dikenang.


Friday, March 23, 2018

Mempelajari Bahasa Arab - Umrah 30 Nov - 10 Dis

Saya belajar bahasa Arab baru peringkat asas, dan lebih kepada memahami ayat al-quran dan bukan perbualan. Untuk beli barang pun komunikasi dalam bahasa Melayu sahaja. Ada satu kedai, sibuk memanggil Nealofa, Ziana Zain. Bukanlah nak maksudkan kita cantik macam artis tu haha, cuma dia nak beritahu dia tahu orang Malaysia. Baru cakap sepatah dah tahu. Macam mana dia tahu?

Kalau Indonesia, dengan tone bernada lembut dan seakan berlagu, “Ini berapa?” tapi kalau Malaysia, “Berapa?” Dengan tone yang laju. Haha, gitu rupanya. Orang kedai tu la yang beritahu.
Kalau nak balas cakap Arab hanya boleh teringat syukran (terima kasih). Oleh itu semasa di sana, saya lebih banyak menggunakan bahasa Arab untuk memerhati benda yang bertulis.


Di situ ditulis musola, perkataan biasa juga kita sebut. Rojulun bermakna lelaki. Kalau perempuan ditulis nisa - seperti di dalam ayat quran surah an-nisa. Kalau di tandas juga kalau nak cari tandas lelaki atau perempuan bolehlah eja. 

M-a-k-d-o-n-a-l-d-z hehe yang ni takde la dalam bahasa arab. Nampak M pun dah boleh tahu apa.
Di sana, hotel dipanggil pondok. - fa - nun - dal - qaf

Untuk duit, saya lebih suka tengok nilai yang Arabic sebab tulisannya lebih besar. Bagaimana nak kenal angka? Boleh tengok tip di bawah


Untuk cerita asal boleh lihat di sini


Click untuk lebih jelas


Monday, March 19, 2018

Persiapan sebelum menunaikan umrah (30 Nov-10 Dis): Tip 3


1.Untuk persediaan mental, baca buku Prof Muhammad Kamil ni dulu. 1st time pergi jadi tak boleh bayangkan lagi. Malah dapat banyak tip juga daripada buku-buku ini.

2.Duit. Berapa banyak yang perlu dibawa bergantung kepada individu itu sendiri memandangkan hotel, flight dah bayar lebih awal cuma fikir duit belanja sahaja. Semasa di Mekah hotel hanya menyediakan sarapan jadi kena beli sendiri lunch dan dinner.  Masa saya pergi RM100 = SR86.20.
Beli SR500 tapi , tak ada duit kecil, sekeping itu je yang dia ada. Ramai orang pergi masa tu, duit habis. Susah nak belanja kalau duit besar je yang ada. Akhirnya masa di KLIA 2 beli SR100 lagi.
Dengan  SR600, barang yang shopping idak le banyak, kurma sekilo, kekacang sekilo, jubah sepasang, coklat seklio, sejadah 10, sim card, buku 2 buah dan yang lain untuk makan. Tapi makan pun berkongsi, SR28 pun cukup untuk 3 orang makan. Nasi banyak dan ayamnya besor.  Di sana senang nak membeli, barangan. Tiada yang dijual dalam bentuk sen. Semuanya pakai duit kertas. 25 riyal, 70 riyal, 120 riyal. Jadi memang senanglah untuk mengira-ngira tu.

3. Tag Nama

Setiap jemaah diberi tag nama dan perlu dipakai setiap masa apabila keluar. EPL Travel dah sediakan tag nama beserta dengan waktu solat di Mekah dan Madinah. Senang tengok.


4. Beg travel
Beg ni senang nak simpan barang peribadi. Gantung di leher dan dalam telekung. Warnanya memang yang dijual ikut warna badan untuk keselamatan. Dalam ni biasanya senang isi duit, gula-gula dan buku doa yang nipis.

5. Buku doa
Buku ni bawa sendiri, muat dalam beg tadi. Sementara tunggu waktu masuk boleh baca. Buku nipis je. Baca dan cuba ingat.

6. Ubat-ubatan. Ubat-ubat yang memang biasa bawa, paracetamol,  koyok, ubat batuk, selesema.  Saya ikut petua, Prof Muhamad Kamil yang bawa ubat sakit tekak untuk sedekah. Alhamdulillah, sihat sepanjang berada di sana dan ubat-ubat yang dibawa tidak digunakan cuma bila rasa tekak tak selesa (perit) hisap ubat sakit tekak. Memang sentiasa bawa dalam sling beg yang kecil. Bila dengar je orang lain batuk-batuk, saya pass ubat ni tak kiralah orang daripada negara manapun. Ada sekali tu waktu subuh, saya duduk sebelah orang Turki. Tunduk lemah. Bunyi pun dah mengerang. Mamai-mamai. Orang di sebelahnya, maknya mungkin, urut-urut belakang. Jemaah di depan saya, Pakistan/India suruh beri minum air, “Water, water.” Saya dengar  tu terus tawarkan air zam-zam dalam botol saya (memang sentiasa bawa). Dia tak nak.  Lepas azan, solat sunat. Dia bangun nak solat. Mak dia suruh duduk. Dia nak berdiri jugak. Saya yang solat sebelah boleh terasa goyang-goyangnya dia. Boleh pulak dalam hati, berat ni kalau timpa. Uwaa. Habis solat.  Saya keluarkan ubat sakit tekak ni bagi dia. “Sugar?”  “Yes!” dia nak buka pembalut pun dah menggeletar. Saya bukakan. Baru dia nampak segar sikit. Fuh! Ni mesti hipo. (kalau penghidap kencing manis, dah biasa ni hipo.)  Sedekah boleh bermacam-macam cara, kan?

7. Sim kad

Sebenarnya tak berniat nak beli sebab tak nak terlalu menggunakan telefon (biasalah kalau ada data, kan) Plan guna wifi di hotel sahaja. Rakan sebilik saya beli sim kad tapi ada masalah pula, tak boleh guna, tak ada apa-apa signal. Orang yang jual tu kata telefon tu yang bermasalah dan bukannnya sim kad. Apa lagi nak dikata, dah bayar. Halal je RM30. Orang lain punya elok je. Tapi ada juga yang kata telefon kena ada roaming baru dia berfungsi. So tak tau punca sebenar. Saya pun saje cuba-cuba sim kad kawan tu dalam phone saya. Eh boleh je ada signal. Hahaha so dia jual pada saya RM20. Diskaun. Nak harapkan wifi hotel, kat lobi je berfungsi, kat bilik lebih banyak tiada dari ada. Ohh hati-hati juga nak beli sim kad sebab ada yang datang jual kat lobi tu harga lebih tinggi. Ada yang jual RM60 tapi plannya sama. Dan dia pun bukanlah penjual yang sah sebab nampak polis, dia pun lari. Silap-silap telefon kita pun dibawa lari sama sementara nak tukar sim kad tu. Kadang-kadang orang baru sampai, mana sempat nak check semua tu, kan.

8.Alat kira (zikir)

Ni mak beli di Daiso. Ia sebenarnya bukanlah khusus  untuk nak kira berapa banyak zikir yang dibaca, pramugari pun guna ni nak kira penumpang.  Masa di Masjidilharam, sementara tunggu masuk waktu, tengah guna ni, saf depan orang Turki macam nak bercakap dengan saya. Dia nak tengok benda ni. Beri pada dia dan dia click click Subhannallah, Subhannallah. Aiseh comel je tengok mak cik tu macam dapat permainan baru. Dia pun tunjuk dekat kawan-kawan dia.

9. Botol air (kanan)
Botol air ni senang nak bawa air zam-zam balik ke hotel. Botol kecil sahaja senang masuk dalam beg. Setiap kali solat mesti isi dan akan isi dalam botol besar sikit di bilik hotel.

10. Botol spray wuduk
Tujuannya untuk memudahkan kita ambil wuduk kalau terbatal. Tak perlulah susah payah pergi keluar.  Teringat saya pada orang Kuwait yang saya cerita sebelah saya sebelum ni. Dia nampak ada orang bawa botol spray besar. Rasanya orang Malaysia tu sebab rata-rata tengok orang Malaysia banyak bawa. Dia tanya saya, “Why she bring the spray?”
“Easier to take wudhu. No need to go out. So many people here.”
“OOoo,”.
“I also have,” saya pun keluarkan botol spray kecil saya .
Dia gelak je.

Sunday, March 18, 2018

Persiapan sebelum menunaikan umrah (30 Nov-10 Dis): Tip 2


Keperluan yang perlu dibawa.

Berikut merupakan cadangan daripada EPL Travel Agency: Saya tumpukan pada yang wanita:

  • Telekung  - 2 (saya bawa 3 helai)
  • Mini telekung - 2 (saya bawa sehelai)
  • Baju kurung  -3 (saya bawa 4 helai)
  • Baju maxi - 2
  • Baju tidur & Seluar panjang – 2
  • Stokin -3 (saya bawa 4 pasang) –elok bawa yang tebal senang untuk tawaf dan saie.
  • Sarung tangan -1 (saya bawa sebab katanya taif sejuk tapi tak pakai pun masa kat sana)
  • Tuala mandi -2 ( EPL kata kadang kala ramai datang time yang sama jadi mungkin tak ada disediakan, just prepare at least 1. Saya bawa 1)
  • Baju sejuk /Sweater – 1 (sebelum nak pergi diberitahu cuaca sejuk 18 celcius tak silap. Tapi saya bawa sweater 1 dan inner 3)
  • Selipar getah – 1
  • Kasut biasa-1
  • Buku Doa (kecil) – diberi oleh Travel Agency
  • Penyangkut baju – senang basuh baju. Di Madinah saya basuh baju.
  • Gunting kecil – untuk tahallul nanti. Tapi ingat taruh dalam bagasi. Jangan pula letak dalam cabin bag. Kena tahan nanti.
  • Beg sejadah
  • Lencana nama – diberi oleh Travel Agency
  • Ubat gigi
  • Berus gigi
  • Sabun - kalau ikutkan duduk hotel mesti dah ada sabun tapi saya bawa juga sebab plan nak basuh baju.
  • Uncang besar – untuk kasut
Uncang untuk selipar
Buku doa yang diberi oleh travel agency

Lip balm
Bawa juga losyen dan lip balm. Di sana, kulit saya kering habis walaupun dah disapu losyen. Tapak kaki pecah-pecah dan adakala berdarah. Nak pijak pun sakit tapi Alhamdulillah masa tawaf dan saie saya terlupa kaki sakit. Jalan biasa je. Lepas tu baru terasa.