Friday, October 1, 2010

Rumah Kelahiran & Galeri P. Ramlee

P. Ramlee (Nama sebenarnya Teuku Nyak Zakaria bin Teuku Nyak Puteh) lahir di rumahnya pada 22 Mac 1929. Ayahanda beliau, seorang ahli pelayaran dari Lho' Seumawe, Acheh yang datang ke Pulau Pinang dan berkahwin dengan Che Mah bt Hussein dari Kubang Buaya, Butterworth, pada tahun 1925.

Bagi yang menaiki bas, boleh menaiki Rapid Penang nombor 206 tapi kena jalan sikit la masuk ke dalam sebab tersorok letaknya. Memang tak nampaklah kalau tengok kat luar jalan.


Rumah kelahiran P.Ramlee yang terletak di Lot 1280, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang. Rumah ini telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa P.Ramlee bersama dengan bapa saudaranya Rejab bin Hussein. Rumah ini telah dibaiki semula oleh bapa saudaranya di zaman pendudukan Jepun dan sekali lagi pada tahun 1948. Rumah ini kini telah dibaik pulih semula buat kali ketiganya oleh Arkib Negara Malaysia pada tahun 1991. Walaupun begitu, bentuk asal rumah ini masih dikekalkan.

Rumah dulu-dulu ada anjung tempat lepak-lepak. Tanda Al-Fatihah diletak di pintu depan untuk mengingatkan pengunjung. Dalam rumah ni ada 1 bilik je. Tiada almari baju tapi menggunakan peti besi sebagai ganti. Walaupun kecil je ruang dalam tu tapi nampak selesa. Tandas biasalah letak di luar.

Terdapat cermin di luar bilik. Dikatakan P. Ramlee menghabiskan masa selama 30-45 minit untuk membetulkan fesyen rambutnya dengan menggunakan 2-3 jenis minyak rambut sebelum keluar dari rumah untuk bersiar-siar atau berlatih pancaragam.

P.Ramlee selalu berjemaah di Masjid Kampung Jawa Baru. Beliau juga kerap ditugaskan menjadi bilal kerana suaranya yang lantang dan sedap pada pendengaran.


Basikal memang menjadi pengangkutan popular dulu-dulu.

Selepas melawat Rumah Kelahiran P.Ramlee, boleh melawat ke Galeri P.Ramlee yang letaknya di sebelah sahaja. Dalam galeri ni dipamerkan barang peribadi beliau, aktiviti, poster filem yang pernah dilakonkan dan diarahkan serta pelbagai lagi gambar yang berkaitan.

Cerita-cerita P.Ramlee masih tetapi diminati dan dialog-dialognya masih lagi diingati. Tiada siapa yang boleh menggantikan beliau. Semoga Rumah P.Ramlee ini akan dijaga dengan baik dan diperbanyakkan lagi cenderamata supaya pengunjung boleh membawa pulang sebagai kenangan.

No comments: